Pemimpin negara, ahli politik zahir takziah

942374
942374
A
A
A

KUALA LUMPUR - Berita pemergian bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr Mohamed Salleh Abas yang meninggal dunia pada jam 3.20 pagi Sabtu akibat pneumonia mendapat reaksi beberapa pemimpin negara dan ahli politik menerusi laman media sosial masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan dalam kenyataan pada Sabtu menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham serta menyifatkan pemergiannya kehilangan besar buat negara.

"Allahyarham meninggalkan legasi cemerlang yang kekal dalam lipatan sejarah bidang perundangan negara.

"Jasa Allahyarham sangat besar kepada negara dengan menjawat pelbagai jawatan dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan bermula 1957 sebagai Majistret di Kota Bharu, Kelantan," katanya.

Beliau berkata, Allahyarham kemudian menyandang jawatan sebagai Timbalan Pendakwa Raya, Penasihat Undang-Undang Negeri, Peguam Cara Negara, Hakim Mahkamah Agung dan akhirnya Ketua Hakim Negara pada 1984.

Katanya, Allahyarham terus aktif sebagai seorang peguam bela dan peguam cara termasuk sebagai konsultan sehingga akhir hayatnya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerusi ciapan di akaun Twitter rasmi beliau pada Sabtu turut berdukacita dengan berita pemergian Mohamed Salleh.

"Sesungguhnya ia adalah satu kehilangan besar untuk negara. Saya berdoa semoga Allahyarham dicucuri rahmat dan maghfirah oleh ALLAH SWT dan mendapat husnul khotimah. Takziah kepada keluarga Allahyarham," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berkongsi rasa dukacita, Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga dan kenalan Allahyarham.

"Berita sangat dukacita hari ini. Tun Dr Mohamed Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara telah meninggal dunia pagi tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah. Marilah kita berdoa agar Almarhum diampuni, dirahmati dan ditempatkan bersama orang-orang soleh," katanya.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu hantaran di laman Facebooknya berkata, "Innalillahiwainaillahirojiun. Takziah kepada keluarga Tun Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara yang telah pulang ke rahmatullah awal pagi Sabtu.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman," katanya.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu juga berkata, jasa Allahyarham amat besar dalam memartabatkan badan kehakiman negara.

"Semoga rohnya dicucuri rahmat dan memperoleh setinggi-tinggi pengampunan oleh ALLAH SWT," katanya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar berkata, "Innalillahiwainaillahirojiun. Our former Lord President of the Supreme Court, guardian of our judiciary. May ALLAH SWT place him amongst the Righteous in Jannatul Firdaus, and provide his family with much strength at this time," katanya.

(Innalillahiwainaillahirojiun. Bekas Ketua Hakim Negara, pejuang kehakiman kita. Semoga ALLAH SWT menempatkan beliau dalam kalangan orang yang soleh di Jannatul Firdaus, serta memberi kekuatan kepada keluarganya dalam waktu sukar ini). - Bernama