RM35.43 juta untuk bina tiga dewan di Pagoh: Pejabat PM

Kenyataan akhbar oleh Pejabat Perdana Menteri pada Sabtu.
Kenyataan akhbar oleh Pejabat Perdana Menteri pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pejabat Perdana Menteri (PMO) tampil memberikan penjelasan berhubung isu surat tular di media sosial berkaitan kelulusan projek dewan di Parlimen Pagoh yang melibatkan peruntukan sebanyak RM35 juta.

Menurut satu kenyataan pada Sabtu, PMO memaklumkan bahawa peruntukan pembangunan tersebut diberikan untuk pembinaan tiga buah dewan orang ramai iaitu Dewan Gersik, Tangkak bernilai RM13 juta, Dewan Masyarakat Bukit Pasir, Muar (RM16.66 juta) dan Pusat Komuniti Bukit Kepong, Muar (RM5.77 juta).

“Peruntukan pembangunan ini bukan untuk pembinaan sebuah dewan sepertimana yang digembar gemburkan oleh sesetengah pihak.

“Pembinaan ketiga-tiga dewan ini adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat. Perolehan bagi ketiga-tiga projek pembinaan dewan ini bukan secara rundingan terus tetapi mengikut tatacara perolehan secara tender yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

“Dakwaan seperti yang ditularkan adalah berniat jahat dan Pejabat Perdana Menteri merasa kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab ini,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, tular di sosial media sebuah surat yang menunjukkan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bersetuju untuk meluluskan peruntukan bagi pelaksanaan projek pembinaan sebuah dewan di Parlimen Pagoh.

Dalam surat yang sama, difahamkan bahawa Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh memohon supaya Jabatan Kerja Raya (JKR) dilantik sebagai pelaksana projek tersebut dan meminta ia dapat dimulakan secepat mungkin iaitu pada 1 Mac 2021.

Artikel Berkaitan: