Gempa susulan landa Sulawesi

Operasi SAR giat dijalankan untuk mengeluarkan mangsa yang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan di Mamuju. - Foto: Agensi
Operasi SAR giat dijalankan untuk mengeluarkan mangsa yang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan di Mamuju. - Foto: Agensi
A
A
A

JAKARTA - Satu gempa susulan menggegar Kepulauan Sulawesi pada Sabtu ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan untuk mengeluarkan mangsa yang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan selepas gegaran berkekuatan 6.2 magnitud meragut sekurang-kurangnya 46 nyawa manakala ratusan yang lain cedera sehari sebelum itu.

Agensi Mitigasi Bencana Indonesia mengesahkan tiada kematian atau kemusnahan dilaporkan selepas gempa susulan 5.0 magnitud itu menggegar daerah Mamuju dan Majene di Sulawesi Barat.

Menurutnya, kira-kira 15,000 penduduk telah dipindahkan dan ada yang mendapatkan perlindungan di kawasan pergunungan.

Gempa kuat itu turut menyebabkan lebih 300 struktur dan dua hotel musnah selain menyebabkan kemusnahan harta benda yang besar.

Difahamkan, operasi SAR tersebut akan memberi tumpuan kepada hotel yang runtuh.

Sementara itu, Ketua Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia, Dwikorita Karnawati berkata, mereka meramalkan satu lagi gempa yang boleh mencecah 7.0 magnitud dan beliau menggesa penduduk tidak menghampiri laut kerana bimbang risiko berlaku tsunami. - Agensi

Artikel Berkaitan: