Implikasi pemecatan Trump

A
A
A

KONGRES Amerika Syarikat (AS) telah meluluskan resolusi untuk memulakan proses pendakwaan dan pemecatan Presiden Donald Trump.

Kali pertama dalam 231 tahun sejarah AS, seorang Presiden AS didakwa dua kali. Pemecatan kali kedua telah diusul oleh Kongres AS akibat dakwaan bahawa Trump telah menghasut penyokongnya merusuh.

Penyokong Trump telah berkumpul di Washington DC untuk memprotes pengesahan kemenangan Joe Biden, namun protes bertukar menjadi ganas apabila penyokong Trump menyerbu bangunan Capitol sehingga menyebabkan kematian anggota keselamatan serta kerosakan harta benda awam pada 6 Januari 2021.

Dua tahun lalu, Trump telah dihadap dengan proses pemecatan. Beliau didakwa menyalah guna kuasanya untuk menyekat bantuan luar kepada Ukraine bagi mendesak kerajaan Ukraine di bawah pentadbiran Presiden Volodymyr Zelensky untuk menyiasat bekas Timbalan Presiden AS, Biden ketika itu.

Kononnya, Biden pada 2014 telah salah guna kuasa untuk mempengaruhi kerajaan Ukraine bagi melantik anaknya, Hunter Biden sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah dalam syarikat minyak dan gas asli milik Ukraine.

Pendengaran dan soal jawab bagi proses pemecatan kali pertama telah bermula pada penghujung tahun 2019. Ahli Kongres AS ketika itu telah terbahagi berdasarkan parti masing-masing. Akhirnya, ahli-ahli Senat telah mengundi pada 5 Februari 2020 sama ada Trump bersalah atau tidak atas tuduhan salah guna kuasa serta menyekat Kongres.

Semua ahli, 52 daripada Republikan (kecuali Mitt Romney, Utah) telah mengundi ‘tidak bersalah’ manakala kesemua ahli, 48 daripada Demokrat mengundi ‘bersalah’. Trump telah terlepas daripada usaha memecat beliau.

Namun, kali ini berbeza kerana ramai ahli Kongres AS termasuk daripada Parti Republikan telah mengutuk tindakan Trump mengapi-apikan penyokong dan menyalahkan beliau cuba menghalang proses demokrasi kerana enggan menerima kekalahan.

Persoalannya, mengapa memecat Trump sedangkan beliau hanya tinggal beberapa hari lagi untuk menyerahkan kuasa kepada Biden?

Pertama, sekira Trump didapati bersalah walaupun telah melepaskan jawatannya pada 20 Januari 2021, bererti beliau tidak boleh lagi memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan pada masa hadapan termasuk dilarang bertanding pada Pilihan Raya Presiden 2024.

Selain itu, beliau kemungkinan besar tidak boleh menikmati peruntukan dan hak keistimewaan sebagai bekas Presiden AS. Bagi musuh politik Trump, pemecatan akan menamatkan kerjaya politik Trump.

Artikel Berkaitan:

Kedua, pemecatan Trump akan lagi memecahbelahkan masyarakat AS. Ketika Pilihan Raya Presiden AS 2020, seramai 74,222,958 penduduk AS atau 46.8 peratus telah mengundi Trump dan masih ramai daripada mereka yang enggan menerima hakikat Trump telah kalah.

Mereka sudah pasti tidak akan berdiam diri dan bangkit menentang kerajaan dipimpin Biden. Ia akan mencetuskan lebih banyak protes dan rusuhan di AS sehingga kemungkinan berlakunya perang saudara.

Ketiga, proses pendakwaan dan pemecatan Trump juga memberi implikasi negatif kepada Biden kerana pentadbirannya terpaksa meluang masa serta tenaga berhubung isu pendengaran dan pendakwaan di Senat AS daripada membantu menyelesaikan isu yang lebih penting seperti pemulihan ekonomi akibat Covid-19.

Proses pendakwaan dan pemecatan Trump akan mencacatkan 100 hari pertama pentadbiran Biden. Sebenarnya, kemungkinan Trump untuk dipecat adalah tipis kerana ia memerlukan sokongan daripada Senat AS yang masih dikuasai parti Republikan.

Walaupun tindakan Trump menghasut penyokongnya sehingga mencetuskan rusuhan telah mendapat kecaman daripada Republikan, namun bukan semua Senator Republikan sanggup mengundi memecat Trump, melainkan satu lagi rusuhan yang lebih serius bakal terjadi ketika upacara mengangkat sumpah pada 20 Januari nanti.

Trump sedar seandainya rusuhan sedemikian benar-benar akan berlaku, ia akan membawa padah kepada kerjaya politiknya. Oleh itu, beliau telah segera mengisytiharkan darurat dan mengarahkan ramai Pengawal Kebangsaan untuk berada di Washington DC.

Perasaan benci yang selama ini diapi-apikan oleh Trump tidak mudah dipadamkan dan sudah mula membakar dirinya.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya