Covid-19: Thailand rekod 230 kes baharu, satu kematian

Orang ramai memakai pelitup muka ketika berada di kawasan terbuka di Bangkok, Thailand. Foto Xinhua
Orang ramai memakai pelitup muka ketika berada di kawasan terbuka di Bangkok, Thailand. Foto Xinhua
A
A
A

BANGKOK - Thailand merekodkan 230 kes baharu Covid-19 dan satu kematian pada Sabtu dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 11,680 kes dan 70 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata, daripada jumlah 230 kes baharu itu, sebanyak 209 kes adalah jangkitan tempatan termasuk 126 kes melalui pengesanan kes aktif dan 21 kes import.

“Setakat ini, terdapat sebanyak 2,704 kes aktif di negara ini,” katanya pada sesi taklimat harian Covid-19 di sini pada Sabtu.

Kes kematian membabitkan seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun dari Bangkok disebabkan faktor kesihatan. Pesakit dikesan positif Covid-19 pada 30 Disember.

Pesakit menghidap radang paru-paru serta kegagalan buah pinggang dan meninggal dunia pada Khamis.

Wabak Covid-19 terbaru di Thailand telah merebak ke 60 wilayah dan lebih 7,400 kes dilaporkan mempunyai kaitan dengan sebuah paa makanan laut di Samut Sakhon pada pertengahan Disember lepas.

Thaweesilp berkata, CCSA bercadang untuk meningkatkan pengesanan kes aktif dalam kalangan pekerja migran di 28 wilayah terkawal termasuk Samut Sakhon, Bangkok, Chonburi dan Rayong.

“Kami berharap dapat mengurangkan jumlah pesakit tidak bergejala,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Thaweesilp berkata, pekerja asing di Thailand perlu menjalani ujian Covid-19 bagi memohon atau memperbaharui permit kerja mereka mulai bulan depan.

Beliau berkata, ketika ini tidak ada keperluan untuk pekerja asing - tidak termasuk dari Myanmar, Laos dan Kemboja yang ingin melanjutkan permit kerja mereka untuk mendapatkan ujian Covid-19.

“Kementerian Buruh dalam proses memasukkan Covid-19 dalam senarai penyakit yang memerlukan pekerja asing menyerahkan sijil ujian mengesahkan mereka tidak dijangkiti wabak itu.

“Peraturan baharu dijangka berkuat kuasa bulan depan,” katanya. - Bernama