X

Kindly register in order to view this article
!

PKPB 14 hari di Sarawak mulai Isnin ini

DOUGLAS UGGAH EMBAS
A
A

KUCHING - Kerajaan negeri Sarawak memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri itu selama 14 hari bermula Isnin ini hingga 31 Januari.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keputusan itu dibuat susulan peningkatan kes positif Covid-19 di negeri tersebut sejak beberapa hari lepas.

Beliau berkata, arahan PKPB itu tertakluk kepada semua bahagian di Sarawak kecuali Sibu yang kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Sabtu sehingga 29 Januari.

“Prosedur operasi standard (SOP) berhubung PKPB ini akan dimaklumkan kepada orang awam esok,” katanya pada sidang akhbar harian Covid-19 di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Sarawak diletak di bawah PKP Pemulihan (PKPP) susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Januari lepas.

Pada Sabtu, Sarawak mencatat 69 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negeri itu meningkat kepada 2,049.

Timbalan Ketua Menteri I itu turut memaklumkan bahawa pengoperasian institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di kawasan PKP dan PKPB di Sarawak akan diselaras mengikut pengumuman KPM sebelum ini.

Beliau berkata, bagi sekolah di kawasan PKP dan PKPB, sesi persekolahan secara bersemuka hanya akan melibatkan murid yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) untuk 2020 dan 2021 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

“Murid sekolah berasrama penuh dan asrama sekolah harian yang akan menduduki peperiksaan tersebut dibenarkan pulang ke asrama mulai hari ini selaras dengan pengumuman KPM sebelum ini,” katanya.

Uggah berkata, semua murid sekolah rendah termasuk prasekolah dan pelajar sekolah menengah (Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat) di kawasan PKP dan PKPB pula akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Januari.

Katanya, ketetapan itu juga terpakai kepada murid Semester 2 SVM dan Semester 2 DVM tahun 2020 di Kolej Vokasional Sarawak. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!