14 individu dikompaun ingkar SOP PKP

Noorzainy memberi penerangan mengenai kesalahan dilakukan oleh individu yang dikompaun di Pantai Bersih, pada petang Sabtu.
Noorzainy memberi penerangan mengenai kesalahan dilakukan oleh individu yang dikompaun di Pantai Bersih, pada petang Sabtu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seramai 14 individu dikompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam pemeriksaan di Pantai Bersih di sini pada petang Sabtu.

Dalam pemeriksaan bermula jam 4 petang itu, ada di antara mereka yang dilihat cuba berkelah di tepi pantai, tidak memakai pelitup muka dan ada yang sanggup merentas daerah semata-mata mahu melepak di tempat tumpuan ramai sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, semua yang ditahan berusia di antara 20 hingga 40 tahun itu memberikan pelbagai alasan kononnya tidak tahu mengenai kesalahan yang dilakukan sedangkan PKP telah masuk hari ke empat dikuatkuasakan di negeri ini pada Sabtu.

“Dalam pemeriksaan itu, kita kenal pasti tiga individu didapati merentas daerah tanpa kebenaran termasuk seorang wanita warga Vietnam.

“Sepatutnya mereka sudah tahu dalam tempoh PKP ini mereka perlu duduk di rumah melainkan jika ada urusan penting, namun masih ada lagi yang degil,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi pemeriksaan di sini pada petang Sabtu.

Noorzainy berkata, operasi khas yang dilakukan bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) itu bertujuan bagi memastikan orang ramai mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Katanya, kawasan Pantai Bersih sering menjadi tumpuan ramai setiap petang terutama pada hari minggu, namun pemeriksaan dilakukan mendapati kawasan berkenaan lengang tanpa kehadiran orang ramai.

Dalam operasi sama, MBSP turut mengeluarkan 14 kompaun dan satu notis amaran terhadap peniaga atas beberapa kesalahan berniaga tanpa lesen, tiada suntikan tifoid dan tidak memasang penapis minyak.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata, sehingga kini tiada individu yang ditahan atas kesalahan rentas negeri.

“Dalam operasi sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan termasuk pemeriksaan di tiga laluan tikus yang dikenalpasti di kawasan Tasek Gelugor didapati tiada yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran.

“Namun, empat pasukan SJR bergerak yang ditubuhkan tidak akan berhenti menjalankan pemeriksaan bagi menyekat pergerakan keluar masuk individu yang cuba merentas negeri menggunakan laluan tikus,” katanya.