X

Kindly register in order to view this article
!

Syarikat e-hailing digesa turunkan kadar komisen kepada pemandu

Tangkap layar hantaran di Facebook Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu.
A
A

SHAH ALAM - Syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing digesa menurunkan komisen semasa yang dikenakan kepada pemandu perkhidmatan berkenaan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menerima banyak aduan daripada pemandu e-hailing yang bimbang terhadap pengekalan kadar komisen sehingga 20 peratus kerana faktor jumlah pengguna yang dijangka berkurangan semasa tempoh tersebut.

“Saya menerima keluhan pemandu yang mendakwa ketika PKP 1.0 dilaksanakan pada 18 Mac dan PKPB pada 14 Oktober tahun lalu, jumlah penumpang amat berkurangan.

“Pemandu memaklumkan ada ketika mereka bekerja 15 jam sehari bermula 7 pagi hingga 10 malam namun pendapatan kasar hanya RM70 sehari tetapi belum ditolak potongan komisen, petrol dan makanan.

“Situasi ini berlaku akibat ketiadaan penumpang kerana pergerakan terbatas,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Menurutnya, pemandu mengadu memaklumkan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya kadar komisen semasa yang dikenakan jika tiada halangan pergerakan yang dikuatkuasakan.

“Jika tiada halangan pergerakan, pemandu beranggapan komisen 20 peratus masih boleh diterima asalkan mereka berkeupayaan meraih pendapatan kasar antara RM200 hingga RM300, jika bekerja lebih 10 jam sehari.

“Tetapi akibat PKP, ramai pemandu terpaksa melopong di tepi jalan sementara menunggu kehadiran tempahan atas talian yang tidak kunjung tiba.

“Saya ambil contoh, jika pemandu meraih RM100 kasar sehari atau kurang (ketika PKP), komisen ditolak ialah RM20, petrol RM20, makan dan minum RM25, maka wang yang dibawa pulang ke rumah adalah RM35,” katanya.

Jelasnya lagi, pemandu perlu menanggung kos bayar bulanan kereta, penyelenggaran kenderaan, insurans tahunan kenderaan, cukai jalan dan insurans e-hailing.

Beliau yng juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, dengan pelaksanaan PKP, pemandu e-hailing termasuk penghantar makanan terpaksa mengetepikan risiko dijangkiti Covid-19 demi mencari sesuap nasi buat anak-anak dan seluruh keluarga.

“Oleh itu kerajaan diharap peka dan prihatin dengan situasi ini. Sedikit sebanyak membantu mengurangkan bebanan ditanggung pemandu e-hailing termasuk sektor-sektor lain yang terjejas.

“Kita sedia maklum, bagi PKP kali ini tiada bantuan dan moratarium dilaksanakan sedangkan komitmen bulanan isi rumah berjalan seperti sedia kala.

“Pelaksanaan PKP 2.0 sememangnyà memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia, tidak terkecuali kira-kira 100,000 pemandu e-hailing di seluruh negara turut terjejas,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!