Lelaki merayau bukan pesakit Covid-19

Lelaki (kiri) didakwa memakai gelang merah jambu bukanlah pesakit Covid-19 di R&R Bukit Gantang. Foto: Ihsan pembaca
Lelaki (kiri) didakwa memakai gelang merah jambu bukanlah pesakit Covid-19 di R&R Bukit Gantang. Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

TAIPING - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki yang videonya tular di media sosial pada Sabtu kononnya memakai gelang merah jambu di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang di sini sebenarnya bukanlah individu yang dikenakan perintah pengawasan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, anggota Balai Polis Changkat Jering menjalankan siasatan sebaik menerima panggilan daripada Peronda Lebuh Raya kira-kira jam 10.50 pagi.

Menurutnya, siasatan mendapati lelaki berusia 53 tahun itu berasal dari Kampong Pondok, Padang Rengas.

“Lelaki tersebut tidak memakai gelang Kementerian Kesihatan seperti yang didakwa dalam video itu. Dia telah menumpang lori untuk ke Alor Setar, Kedah bagi mencari kerja.

“Sampai di hentian itu, dia telah turun dan merayau-rayau menyebabkan pekerja kedai makan menghubungi Polis Bantuan PLUS untuk meminta bantuan,” katanya.

Osman berkata, anggota kemudiannya membantu menghantar lelaki tersebut ke Stesen Bas Kamunting dan membelikannya tiket untuk dia pulang semula ke rumah kakaknya di Ipoh.

Katanya, orang ramai diingatkan tidak menularkan sebarang berita yang tidak benar hingga boleh menimbulkan kegusaran dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

“Sebarang perkongsian berita yang bersifat palsu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel Berkaitan:

“Jika didapati bersalah boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi seminit 38 saat itu dipercayai dirakam seorang lelaki dari dalam kenderaan mendakwa lelaki tersebut adalah warga Bangladesh yang merupakan pesakit Covid-19.

Lelaki tersebut turut meminta orang ramai berhati-hati dan melakukan sanitasi bila berkunjung ke hentian tersebut.