PGA Perlis rampas 1.05 tan daun ketum

Bungkusan plastik berwarna hitam disyaki berisi daun ketum yang dirampas. - Foto Bernama
Bungkusan plastik berwarna hitam disyaki berisi daun ketum yang dirampas. - Foto Bernama
A
A
A

KANGAR - Batalion ke-18 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 1.05 tan metrik daun ketum dianggarkan bernilai RM31,500 menerusi dua siri Op Bersepadu Benteng Covid Sempadan Darat Malaysia-Thailand, Selasa lepas, kata Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji.

Kira-kira 2.30 pagi, 12 Januari lepas anggota PGA menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 54 tahun dalam keadaan mencurigakan di sebuah rumah tidak bernombor berdekatan Kampung Wai, Kuala Perlis.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas kenderaan suspek, anggota bertugas menemukan 23 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki berisi daun ketum dengan berat 230 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM6,900," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek yang bekerja sebagai buruh positif dadah jenis methampethamin.

Katanya, turut dirampas sebuah kereta jenis kereta Perodua Kancil yang digunakan oleh suspek.

Abdul Ghani berkata, dua jam setengah kemudian, anggota PGA menemukan longgokan 82 plastik berwarna hitam disyaki berisi daun ketum ditinggalkan di atas pelantar nelayan di Kampung Tengah Kuala Perlis.

Katanya, anggota PGA telah menunggu dan membuat pemerhatian namun tiada individu yang menghampiri atau mengambil bungkusan berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap longgokan plastik hitam tersebut mendapati di dalamnya mengandungi daun-daun hijau disyaki daun ketum dengan anggaran berat 820kg dan dianggarkan bernilai RM24,600.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," katanya. - Bernama