Polis tutup Jalan Seribu Tahun

Polis melakukan penutupan Jalan Seribu Tahun, Bandar Mahkota di Banting yang menjadi laluan orang ramai untuk mengelak sekatan jalan raya.
Polis melakukan penutupan Jalan Seribu Tahun, Bandar Mahkota di Banting yang menjadi laluan orang ramai untuk mengelak sekatan jalan raya.
A
A
A

BANTING - Polis menutup Jalan Seribu Tahun, Bandar Mahkota, di sini pada Sabtu yang dijadikan sebagai 'jalan tikus' untuk mengelak sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Banting-Dengkil ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, jalan ini merupakan jalan alternatif dari jalan utama Banting ke Dengkil.

"Laluan tikus itu dikesan digunakan orang ramai untuk mengelak SJR khususnya mereka yang berulang-alik dari Bandar Mahkota dan dari Olak Lempit serta dari Banting.

"Tindakan penutupan ini diambil selepas melihat kepada situasi peningkatan kes positif Covid-19 di daerah Kuala Langat khususnya di kawasan mukim Tanjung 12(2) terutama melibatkan kawasan Bukit Changgang, Labohan Dagang serta Olak Lempit," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Azizan berkata, selain itu pihaknya telah mengadakan lima SJR di laluan utama keluar dan masuk ke Kuala Langat termasuklah Jalan Banting-Dengkil.

Beliau berkata, ini selaras dengan arahan PKP 2.0 di mana pergerakan diminimumkan kecuali atas keperluan tertentu yang dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam pada itu, pihaknya juga telah menubuhkan empat pasukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi memantau kawasan tumpuan awam seperti restoran, tempat rekreasi, premis kerajaan dan pusat beli-belah dan bank.

"Masyarakat diingatkan untuk terus kekal berada di rumah dan tidak keluar sekiranya tiada keperluan mendesak.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang tempoh PKP ini sebarang aktiviti sosial adalah tidak dibenarkan termasuklah majlis perkahwinan dan majlis keagamaan. Sebarang kemusykilan boleh rujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau menghubungi di bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat 03-31872222," katanya.