PKP: 32 ditahan rentas negeri tanpa kebenaran

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Biarpun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memasuki hari keempat hari ini, namun masih ada mereka yang ingkar larangan merentas negeri dan daerah apabila 32 individu ditahan atas kesalahan itu, semalam.

Angka itu adalah sebahagian daripada 472 individu yang ditahan pihak polis atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP ditetapkan kerajaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah 472 yang ingkar PKP, sebanyak 457 daripadanya telah dikompaun manakala 15 lagi telah direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP (selain kesalahan rentas negeri/daerah) termasuk tidak memakai pelitup muka (182), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (85), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (66), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (65) dan lain-lain (42),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan mengumumkan larangan merentas negeri di seluruh negara bermula Rabu lepas sepanjang pelaksanaan PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) mengikut negeri sehingga 26 Jan ini.

Berhubung Op Benteng, beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata seramai 65 pendatang tanpa izin berjaya ditahan, empat buah kenderaan darat dirampas selain melaksanakan 444 Sekatan Jalan Raya (SJR) di seluruh negara.

Ismail Sabri berkata, sehingga semalam sebanyak 105,603 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 83 hotel dan 17 Institut Latihan Awam (ILA).

Daripada jumlah itu, seramai 8,588 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 540 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan, katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata menerusi pemeriksaan di 22 tapak binaan di seluruh negara semalam, empat tapak tidak patuh SOP dan satu daripadanya diarahkan tutup manakala sebanyak 101 operasi sanitasi dijalankan. - Bernama