Muhyiddin perlu sahkan surat tular kelulusan projek RM35 juta

Surat yang tular di sosial media berkenaan kelulusan projek dewan di Parlimen Pagoh yang bernilai RM35 juta.
Surat yang tular di sosial media berkenaan kelulusan projek dewan di Parlimen Pagoh yang bernilai RM35 juta.
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengesahkan atau menafikan surat tular di media sosial yang memaklumkan beliau meluluskan peruntukan sebanyak RM35 juta bagi projek pembinaan dewan di Parlimen Pagoh.

Ketua pergerakan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, rakyat mempunyai hak untuk mempersoalkan kewajaran pelaksanaan projek berkenaan kerana negara kini sedang berdepan pandemik Covid-19.

“Pertama, Perdana Menteri perlu sahkan kesahihan surat tersebut. Saya rasa tak salah untuk rakyat bertanya... Apakah kewajaran pelaksanaan projek pembinaan dewan bernilai lebih RM35 juta ketika negara berhadapan dengan wabak Covid19?

“Kenapa jumlah begitu besar untuk bina sebuah dewan dan kenapa di Pagoh, adakah terdapat kepentingan politik atau peribadi?

“Bukankah lebih elok keutamaan dana diberikan untuk meningkatkan kemampuan frontliners atau mengurangkan bebanan yang ditanggung rakyat menghadapi Darurat dan PKP?” soalnya menerusi ciapan di Twitternya pada Sabtu.

Akmal Nasrullah
Akmal Nasrullah

Terdahulu, tular di sosial media sebuah surat yang menunjukkan bahawa Perdana Menteri telah bersetuju untuk meluluskan peruntukan bagi pelaksanaan projek pembinaan dewan di Parlimen Pagoh.

Dalam surat yang sama, difahamkan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh memohon Jabatan Kerja Raya (JKR) dilantik sebagai pelaksana projek tersebut dan meminta ia dapat dimulakan secepat mungkin iaitu pada 1 Mac 2021.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru turut membangkitkan persoalan mengenai tarikh surat tersebut diutuskan kerana ia sama dengan tarikh Persiytiharan Darurat diumumkan.

“Benarkah surat tersebut diutus pada tarikh sama ketika proklamasi darurat diumumkan Perdana Menteri?

“Adakah ini bermakna ketika darurat kerajaan Perikatan Nasional boleh bertindak sesuka hati membelanjakan wang rakyat dalam keadaan Parlimen digantung? Perdana Menteri, kami mohon pencerahan,” katanya.