Umno perlu tampil pemimpin lebih bersih, berintegriti

NURUL HUDA HUSAIN

Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi
Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi
A
A
A

SHAH ALAM - Umno perlu melakukan perubahan dengan menampilkan pemimpin yang lebih bersih dan berintegriti sekiranya ingin meraih kembali kepercayaan rakyat terhadap parti itu.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, langkah itu dilihat menjadi formula terbaik untuk memulihkan kembali imej parti berkenaan.

“Sudah tiba masanya untuk Umno mengetengahkan muka-muka baharu yang bebas daripada sebarang kontroversi khususnya politik wang.

“Umno juga perlu mengubah pendekatan dengan memberi laluan kepada pemimpin-pemimpin baharu yang diingini akar umbi dan tidak lagi mengamalkan sikap membuat keputusan secara individu tetapi haruslah melalui perbincangan secara menyeluruh,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya lagi, sudah tiba masanya juga untuk tokoh-tokoh lama memberi laluan kepada pemimpin muda selari dengan kehendak rakyat.

“Adalah lebih baik untuk tokoh-tokoh lama terutamanya yang dikaitkan dengan politik wang atau kes-kes negatif berada di belakang tabir untuk memberikan sokongan kepada pemimpin baharu.

“Ini tidak bermakna Umno menolak mereka (pemimpin lama). Tetapi inilah pendekatan terbaik untuk parti itu memulihkan kembali imej dan menarik sokongan rakyat,” katanya.

Katanya lagi, meskipun ketika ini sokongan rakyat kepada Umno kembali positif, namun masih terlalu jauh untuk memulihkan kembali imej jika tidak melakukan perubahan drastik.

Artikel Berkaitan:

“Dalam konteks suasana politik yang belum stabil, Umno perlu melakukan perubahan besar (tampilkan pemimpin baharu) jika ingin meraih kembali sokongan rakyat,” katanya.

Ditanya sama ada populariti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di laman sosial memberi kesan kepada sokongan rakyat terhadap parti itu, jelasnya ia tidak banyak membantu.

“Popular di laman sosial tidak semestinya diterima rakyat di peringkat akar umbi. Ini kerana perubahan dari ‘politik elit’ kepada kelas pekerja hanya dianggap sebagai lakonan bagi sesetengah pihak.

“Lainlah beliau berpewatakan sedemikian (rendah diri) dari awal,” katanya.