'Saya percaya exco-exco saya'

Ahmad Faizal (kiri) pada sidang media, turut sama Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi.
Ahmad Faizal (kiri) pada sidang media, turut sama Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi.
A
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin dan percaya bahawa semua 10 ahli exconya masih bersatu sebagai sebuah kerajaan.

Beliau berkata, sepanjang mentadbir kerajaan negeri, tidak ada sebarang tanda menunjukkan wujudnya rasa tidak puas hati yang membawa kepada gerakan untuk menjatuhkannya selaku menteri besar.

Menurutnya, setakat ini, semua exco memberikan komitmen dan kerjasama serta menunjukkan prestasi tinggi dalam memastikan pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik.

"Tidak ada apa isu pun, jika ada pun saya percayakan exco-exco saya, saya anggap ini semua desas-desus dan harap ia teruslah ditinggalkan sebagai desas-desus semata-mata.

[ARTIKEL BERKAITAN: Memang ada komplot jatuhkan MB Perak]

"Kalaupun ada dakwaan, terpulang kepada pihak lain menyebutnya kerana pada saya adalah penting kerajaan fokus untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya kepada pemberita pada Sidang Dewan Negeri, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan wujudnya gerakan yang serius untuk menjatuhkan Menteri Besar Perak oleh beberapa Exco Kerajaan Negeri menerusi undi tidak percaya dalam Persidangan Dewan Negeri ini.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad, Ahad lalu yang memaklumkan, rancangan tersebut hendak dilaksanakan oleh beberapa exco terbabit dengan cuba memujuk sekurang-kurangnya lima Adun BN supaya menyokong usul undi tidak percaya yang akan dibuat itu.

Ahmad Faizal berkata, selagi perkara itu tidak berlaku, pihaknya menganggap dakwaan berkenaan bukan perkara penting untuk difikirkan.

Artikel Berkaitan:


Katanya, hubungan mereka kini tidak ubah ibarat satu keluarga, sekiranya timbul sebarang isu, pimpinan dalam Majlis Pakatan Harapan bersikap terbuka untuk berbincang.

"Ada cadangan agar diadakan siasatan dalaman, saya fikir perkara itu boleh dibincangkan tetapi ia bukan fokus utama kita sekarang kerana paling penting nak kukuhkan parti dan sampaikan janji kita dalam manifesto," katanya.

Beliau berkata, sebagai kerajaan PH, sebarang bentuk pandangan mahupun teguran adalah sesuatu perkara biasa diamalkan terutama dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri (MMK).

Bagaimanapun menurutnya, sebaik satu keputusan ramai yang menepati kehendak rakyat dicapai, semua pihak akan akur dan patuh dalam melaksanakannya.

"Sebenarnya tiada siapa hentam siapa, ada perkara yang saya tegur dan ada juga perkara saya ditegur, ini untuk kuatkan lagi pentadbiran kerajaan negeri.

"Sebab itu saya tak boleh nampak siapa (cuba jatuhkan) kerana saya lihat semua begitu rapat, we are one big happy family, saya ikhlas mengenai perkara ini," katanya.