Bot pukat tunda karam: Dua hilang, dua selamat

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SANDAKAN - Dua nelayan hilang manakala dua lagi selamat selepas bot pukat tunda mereka naiki terbalik dan karam di perairan Kuala Meruap, awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, tekong dikenali sebagai Andi Manso, 40, dan Sindora, 42, belum ditemui, manakala dua lagi, Adrian @ Agus Bahtiar, 45, dan Oyong @ Herman, 35, berjaya diselamatkan nelayan lain kira-kira jam 6.30 pagi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera diaktifkan pada jam 7 malam sebaik menerima maklumat daripada Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kota Kinabalu.

"Bot itu dikatakan terbalik dan karam akibat dipukul ombak besar ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan sekitar jam 4 pagi.

"Akibat kejadian itu, dua mangsa hilang manakala dua lagi diselamatkan nelayan tempatan yang lalu di kawasan terbabit," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sehubungan itu, Zainudin berkata, usaha mencari kedua-dua mangsa yang sudah memasuki hari kedua sedang giat dilakukan.

"SAR dipecahkan kepada enam sektor meliputi keluasan 175 batu nautika persegi dengan penglibatan enam aset laut terdiri daripada pelbagai agensi menyelamat," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Zainudin berkata, operasi SAR terhadap tiga mangsa bot tunda yang hilang di perairan Kinabatangan pada Rabu lalu memasuki hari keempat.

Artikel Berkaitan:

"Awal pagi tadi, satu mayat ditemukan terapung di sekitar Pulau Tambisan oleh penduduk setempat.

"Mayat dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tujuan pengecaman ahli keluarga serta bedah siasat," katanya.

Terdahulu, Zainudin turut menasihatkan komuniti maritim supaya sentiasa berhati-hati ketika melakukan aktiviti laut berikutan keadaan cuaca yang buruk ketika ini yang menjadi punca bot karam yang berlaku pada kedua-dua kejadian.

"Keadaan cuaca yang buruk ini turut menyukarkan lagi usaha pasukan pencari dan penyelamat," katanya.