X

Kindly register in order to view this article
!

KPM diminta tangguh sesi persekolahan

Gambar hiasan. Gambar kecil: Tan Kok Yew
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta mempertimbangkan semula pembukaan sesi persekolahan pada 20 Januari ini, dengan menangguhkan ke satu tarikh yang lebih sesuai susulan peningkatan kes Covid-19 dalam negara.

Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew berkata, keselamatan dan kesihatan pelajar dan guru tidak sewajarnya dijadikan taruhan dengan memulakan sesi persekolahan dalam keadaan negara berdepan kes harian yang tinggi.

Menurutnya, demi keselamatan dan kemaslahatan rakyat Malaysia terutamanya pelajar, pihaknya mencadangkan agar pembukaan sesi persekolahan dibuat secara berperingkat, bermula dengan murid Tahun Satu.

“Pelajar dan pihak sekolah termasuk guru dan kakitangan terlibat perlu diberi masa untuk menyesuaikan diri dengan normal baharu persekolahan yang lebih mencabar, yang tidak pernah mereka lalui sebelum ini. Peringkat seterusnya hendaklah dibuat mengikut kewajaran,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Kok Yew berkata, setiap negeri kini mencatatkan pertambahan kes dan bilangan negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut bertambah daripada enam negeri kepada tujuh, terbaharu Kelantan.

“Walaupun negara kini dalam perisytiharan Darurat dan PKP, namun kita masih lagi mencatatkan angka-angka baharu yang tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah pandemik ini.

Tidak terkecuali di Kedah, walaupun dalam status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Kedah mencatatkan satu angka baharu semalam, iaitu 142 kes baharu berbanding 86 kes sebelumnya. Peningkatan ini membimbangkan kerana berlaku juga pertambahan kawasan merah di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, penularan kes Covid-19 semakin berserakan ke beberapa lokasi, bukan sahaja di bandar malah kawasan pedalaman.

Kok Yew berkata, beberapa negeri lain dalam status PKPB juga mencatatkan pertambahan angka yang membimbangkan apatah lagi apabila sekolah dibuka dalam tempoh tiga hari lagi.

“Sesi persekolahan bagi kawasan PKPB adalah pada 20 Januari dan tempoh ini adalah enam hari lebih awal sebelum Kedah mengakhiri tempoh PKPB pada 26 Januari.

Ia pasti mengundang kebimbangan ibu bapa ekoran kes semakin meningkat. Ini ditambah pula dengan pergerakan pergi balik ke sekolah terutama mereka yang menggunakan pengangkutan awam seperti bas sekolah, selain pendaftaran pelajar dan ragam murid Tahun Satu yang baru memasuki alam persekolahan,” katanya.

Menurutnya, semua pergerakan ini memerlukan kawalan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan dibimbangi sukar dikawal.

“Kita akur matlamat pelaksanaan PKPB dalam tempoh 14 hari adalah untuk mengekang penularan Covid-19. Namun membenarkan sesi persekolahan bermula seminggu lebih awal sebelum tempoh PKPB tamat dilihat bertentangan dengan matlamat PKPB secara prinsipnya.

Kita harus mengambil iktibar daripada sesi lalu apabila beberapa kes Covid-19 dilaporkan menular di beberapa kawasan sekolah,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, hanya pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan peperiksaan antarabangsa setara di negeri-negeri PKP dibenarkan hadir ke sekolah.

Bagi negeri PKPB dan PKPP semua pelajar perlu hadir ke sekolah kecuali murid Tingkatan Dua dan Tingkatan Tiga negeri tersebut yang perlu melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sehingga 8 Mac 2021.

BERITA BERKAITAN: PM umum sesi persekolahan bermula 20 Januari ini

Hanya pelajar kelas peperiksaan di negeri PKP hadir ke sekolah


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!