X

Kindly register in order to view this article
!

China, Brunei sepakat ganding bahu perangi Covid-19

China bersetuju membina 'laluan pantas' bagi mempermudah perjalanan rakyat kedua-dua negara, dan membincangkan pembukaan 'laluan hijau' bagi pengangkutan kargo.
A
A

BEIJING - China bersedia untuk terus bekerjasama dengan Brunei dalam usaha memerangi Covid-19, kata Ahli Dewan Negara China merangkap Menteri Luar, Wang Yi.

Perkara itu disuarakan Wang Yi dalam pertemuan dengan Sultan Brunei Darussalam, Hassanal Bolkiah di Bandar Seri Begawan pada Khamis.

Beliau berkata, China bersetuju membina 'laluan pantas' bagi mempermudah perjalanan rakyat kedua-dua negara, dan membincangkan pembukaan 'laluan hijau' bagi pengangkutan kargo.

Selain itu, kedua-dua negara diharap mempercepat kerjasama melibatkan projek petrokimia Hengyi, Koridor Ekonomi Guangxi-Brunei, serta pertanian dan perikanan.

Di samping itu juga kedua-dua pihak sepakat untuk meneroka titik pertumbuhan baharu dalam sektor 5G, data raya dan pengkomputeran awan bagi membantu mewujudkan kepelbagaian ekonomi di Brunei.

Sementara itu, Sultan Hassanal Bolkiah bertitah, China merupakan jiran juga sahabat tradisi dan rakan kerjasama penting bagi Brunei.

Baginda turut merakamkan penghargaan atas sokongan China untuk membantu Brunei melawan wabak Covid-19, sambil menyatakan hasrat untuk mengadakan kerjasama berkaitan vaksin dengan China.

Selaku pengerusi ASEAN, Brunei bersedia memainkan peranan bagi menggalakkan kesalingpercayaan dan kerjasama ASEAN-China, selain menyumbang kepada kedamaian dan kestabilan serantau. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!