Raja Thailand kecam tindakan kakak sertai pilihan raya

Raja Maha Vajiralongkorn menyifatkan tindakan kakaknya sertai pilihan raya sebagai tidak wajar. - Foto AFP
Raja Maha Vajiralongkorn menyifatkan tindakan kakaknya sertai pilihan raya sebagai tidak wajar. - Foto AFP
A
A
A

BANGKOK - THAILAND. Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn menyifatkan tindakan kakaknya menyertai pilihan raya umum negara itu sebagai tidak wajar.

Dalam satu kenyataan istana, Raja Maha Vajiralongkorn menegaskan, tindakan Puteri Ubolratana Mahidol telah melanggar budaya keluarga diraja Thailand yang selama ini tidak terlibat dalam politik negara.

"Walaupun beliau telah melepaskan gelaran diraja secara bertulis,namun masih membawa status ahli keluarga dinasti Chakri.

"Penglibatan ahli keluarga diraja dalam politik adalah melanggar adat dan budaya Thailand, ia tindakan yang amat tidak wajar," menurut kenyataan istana.

Namun, Puteri Ubolratana, 68, mempertahankan keputusannya untuk bertanding dengan alasan, beliau kini adalah rakyat biasa dan mahu menawarkan diri untuk berkhidmat dengan ikhlas demi kepentingan penduduk Thailand.

Puteri sulung Raja Bhumibol Adulyadej dan Permaisuri Sirikit itu sebelum ini melepaskan gelaran diraja bagi mengahwini seorang rakyat biasa dari Amerika Syarikat (AS),namun kembali menetap di Thailand selepas bercerai.

Beliau dinamakan sebagai calon perdana menteri dalam pilihan raya 24 Mac depan oleh parti Thai Raksa Chart, bagi menentang Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha yang menggulingkan pentadbiran Yingluck Shinawatra menerusi rampasan kuasa pada 2014.

Sementara itu, penganalisis politik berpendapat, Suruhanjaya Pilihan Raya bakal membatalkan penyertaan Puteri Ubolratana dalam pilihan raya bulan depan susulan teguran Raja Thailand itu. - BBC

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:Kakak Raja Thailand bertanding dalam pilihan raya Mac depan