Penantian 15 tahun Palestin berakhir

Abbas (kanan) ketika mengumumkan dekri pilihan raya tersebut pada Jumaat. - Foto: Agensi
Abbas (kanan) ketika mengumumkan dekri pilihan raya tersebut pada Jumaat. - Foto: Agensi
A
A
A

RAMALLAH - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengumumkan Pilihan Raya Presiden dan Parlimen akan diadakan di Tebing Barat dan Genting Gaza pada tahun ini yang merupakan pemilihan pertama dalam tempoh 15 tahun.

Perkara itu diumumkan menerusi dekri yang dikeluarkan pada Jumaat selepas gerakan Fatah dan Hamas yang mentadbir kedua-dua wilayah itu gagal mencapai kata sepakat selama hampir sedekad.

Hamas yang memegang pentadbiran di wilayah Gaza dalam satu kenyataan turut menyambut baik dekri tersebut dan menyatakan kesungguhan untuk memastikan pemilihan itu berlangsung seperti dirancang.

"Kami telah bekerja keras sejak beberapa bulan lalu untuk mengatasi segala rintangan dan kami juga sudah menunjukkan kesediaan untuk bertoleransi.

"Kerjasama diperlukan untuk memastikan pilihan raya itu berlangsung secara adil dan bebas," ujar jurucakap Hamas yang juga mencadangkan sesi dialog diadakan menjelang pemilihan tersebut.

Menurut garis masa dekri tersebut, Pilihan Raya Parlimen akan diadakan pada 22 Mei dan disusuli Pilihan Raya Presiden pada 31 Julai manakala pemilihan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang memperjuangkan hak Palestin di peringkat antarabangsa akan diadakan pada 31 Ogos depan.

Pada awal bulan lalu, Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dilaporkan ada menghantar surat kepada Abbas meminta agar perpecahan di wilayah Palestin dapat ditamatkan dan mewujudkan perpaduan nasional.

Beberapa pihak melihat Abbas cuba mengambil peluang daripada peralihan kuasa Rumah Putih selepas hubungan antara Palestin dan pentadbiran Presiden Donald Trump menjadi tegang akibat tindakannya mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai 'ibu negara' Israel selain memindahkan Kedutaan AS ke Kota Lama terbabit.

Artikel Berkaitan:

Abbas juga berharap bakal Presiden ke-46 AS, Joe Biden akan menarik balik segala polisi Trump termasuk menyalurkan semula dana kepada Palestin, namun usaha untuk mengadakan pilihan raya itu mungkin mengalami kesukaran berikutan Washington telah menyenaraikan Hamas sebagai 'kumpulan pengganas' sejak 1997.

Pada Mac depan, Israel juga akan mengadakan Pilihan Raya Umum Keempat dalam tempoh dua tahun. - Agensi

INFO

>Perang saudara singkat antara Hamas dan Fatah yang berakhir pada Jun 2007 telah meletakkan kawalan Genting Gaza berada di bawah Hamas manakala Tebing Barat dipimpin Fatah.

>Pada Februari 2011, Abbas pernah mengumumkan pilihan raya akan diadakan pada bulan September, namun ditolak Hamas.

>Pada April 2014, Fatah dan Hamas pernah sebulat suara untuk berkongsi kuasa, namun gagal direalisasikan beberapa bulan kemudian.