[DIKEMASKINI] 4 Exco, seorang ADUN Terengganu kuarantin di rumah

Hishamuddin Abdul Karim, Ariffin Deraman, Wan Sukairi Wan Abdullah, Dr Alias Razak dan Mohd Nor Hamzah
Hishamuddin Abdul Karim, Ariffin Deraman, Wan Sukairi Wan Abdullah, Dr Alias Razak dan Mohd Nor Hamzah
A
A
A
KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Empat Exco dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu kini menjalani kuarantin di rumah kerana menjadi salah seorang kontak rapat individu yang disahkan positif Covid-19.

Mereka yang terlibat ialah Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak; Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman; Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah; Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah dan ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim.

Dr Alias berkata, beliau dan empat lagi pemimpin Terengganu itu kini menjalani kuarantin sementara menunggu keputusan ujian swab test.

“Kami merupakan kontak rapat kepada salah seorang kakitangan di Wisma Darul Iman yang disahkan positif Covid-19. Saya sendiri, Wan Sukairi dan Hishamuddin telah mendapatkan ujian saringan penilaian risiko atau swab test semalam (Jumaat) manakala Ariffin dan Mohd Nor hari ini (Sabtu).

“Kami juga telah membuat keputusan untuk membatalkan segala program yang telah diatur pada minggu ini dan menjalani kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan ujian keluar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Artikel Berkaitan:


Susulan peningkatan kes Covid-19 di Terengganu, beliau turut menasihatkan orang ramai sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan duduk di rumah jika tidak mempunyai urusan penting.

Sementara itu, Ariffin ketika dihubungi Sinar Harian, mengesahkan beliau kini menjalani kuarantin di rumah dan telah mengambil ujian swab test di Kuala Terengganu Specialist Hospital pagi Sabtu.

Beliau turut mengharapkan orang ramai agar terus berdoa kepada ALLAH SWT supaya kes yang menjadi kontak rapatnya dan semua yang terkesan dengan Covid-19 dapat disembuhkan dan sentiasa diberikan kekuatan oleh ALLAH SWT.