Edar ayam: Pemuda UMNO Putrajaya dikompaun langgar SOP PKP

Program edar ayam beku percuma itu dibuat secara pandu lalu telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas dan kehadiran ramai orang di lokasi.
Program edar ayam beku percuma itu dibuat secara pandu lalu telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas dan kehadiran ramai orang di lokasi.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pemuda UMNO Putrajaya dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika menganjurkan program pengedaran ayam beku di Presint 9 pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, penganjuran program itu tidak mendapat kelulusan pihaknya disebabkan Wilayah Persekutuan Putrajaya berada dalam tempoh PKP.

Menurutnya, program pengedaran ayam beku percuma itu dibuat secara pandu lalu dengan konsep first come first serve dan telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas dan kehadiran ramai orang di lokasi.

Orang ramai yang hadir untuk mendapatkan ayam secara percuma di Presint 9 pada Khamis lalu.
Orang ramai yang hadir untuk mendapatkan ayam secara percuma di Presint 9 pada Khamis lalu.

"Hasil pemeriksaan polis mendapati penjarakan fizikal sukar dilaksanakan dalam kalangan hadirin serta SOP gagal dipatuhi oleh pihak penganjur dan orang awam yang hadir.

"Kompaun telah dikeluarkan kepada pihak penganjur di bawah Seksyen 22(B) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu kesalahan di bawah Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu dalam menguatkuasakan undang-undang sepanjang PKP ini.

Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi segala arahan yang telah dikeluarkan kerajaan bagi tujuan membendung seterusnya memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 ini.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

Terdahulu, sebanyak 2,000 ekor ayam diagihkan secara percuma oleh Pemuda UMNO Putrajaya hingga menyebabkan kesesakan sehingga jalan utama Presint 9, sekali gus menimbulkan kebimbangan awam terhadap jangkitan Covid-19.

Beberapa keping gambar memperlihatkan orang ramai menaiki motosikal dan kereta beratur panjang untuk mendapatkannya menjadi tular di media sosial.

Warga maya melahirkan kebimbangan kemungkinan 'Kluster Ayam' akan muncul akibat program tersebut.