PKP: Dobi layan diri, kedai cermin mata dibenar beroperasi

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan telah meneliti semula dan bersetuju bahawa terdapat keperluan bagi kedai cermin mata dan dobi layan diri dalam kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk beroperasi.

Dalam kenyataan pada Sabtu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kebenaran beroperasi itu adalah bagi mengambil kira keperluan rakyat yang memerlukan perkhidmatan berkenaan.

“Kebenaran ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang akan ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) PKP, yang akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga mengingatkan kepada pemain industri dalam sektor perdagangan dan pengedaran supaya memastikan pematuhan SOP PKP dilaksanakan sepenuhnya, di premis masing-masing.

“Kegagalan untuk memastikan SOP PKP dipatuhi boleh diambil tindakan seperti amaran, kompaun serta penutupan premis perniagaan,” katanya.

Beliau menambah, sekiranya pematuhan tersebut masih gagal mencapai tahap yang memuaskan, KPDNHEP akan mengambil tindakan drastik termasuk mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menutup terus operasi industri tersebut sewaktu pelaksanaan tempoh PKP.

Alexander berkata, adalah menjadi harapan KPDNHEP bahawa semua pihak terutamanya pemain industri dan pengguna, mengambil peluang sepenuhnya pembukaan aktiviti ekonomi di bawah Sektor Perdagangan dan Pengedaran, dengan mematuhi kesemua SOP PKP yang sedang berkuat kuasa.

Katanya, tindakan serta kerjasama semua pihak akan dapat mengimbangi keperluan di antara kelangsungan ekonomi negara, serta mengawal jangkitan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP), di talian hotline 03-88825881/ 5905 atau melalui emel kepada spip@kpdnhep.gov.my. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: PKP 2.0 libatkan enam negeri mulai 13 Januari