Edar PdPR secara 'drive thru'

SMK Bandar Baru Serting ambil inisiatif edar bahan modul PdPR secara pandu lalu.
SMK Bandar Baru Serting ambil inisiatif edar bahan modul PdPR secara pandu lalu.
A
A
A

JEMPOL - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Serting menggunakan kaedah pandu lalu mengedarkan Modul Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kepada pelajarnya.

Pengetuanya, Faridah Sulan berkata, edaran modul itu melibatkan 204 pelajar Tingkatan Dua dan Tingkatan Tiga.

"Usaha itu dilakukan bagi memastikan pelajar menerima bahan PdPR supaya pembelajaran dapat diteruskan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Sebelum ini kita memberi tumpuan kepada kaedah dalam talian tetapi menyedari tidak semua pelajar mampu kepada capaian internet, maka inisiatif edaran modul PdPR secara pandu lalu dilakukan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada penyerahan modul itu di hadapan sekolah berkenaan pada Sabtu.

Edaran PdPR secara pandu lalu.
Edaran PdPR secara pandu lalu.

Hadir sama, Timbalan Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah Jempol Jelebu, Norshahida Shaarim dan Pegawai Perhubungan Sekolah, Inspektor Raj Kumar.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sesi pembelajaran secara bersemuka dijangka bermula pada 8 Mac depan, namun bergantung kepada situasi semasa.

"Justeru, kami perlu mengambil inisiatif ini selain menunjukkan kesungguhan pihak sekolah memastikan pelajarnya tidak tercicir daripada pembelajaran walaupun negara diduga dengan wabak Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut berpuas hati apabila semua guru, ibu bapa dan penjaga memberikan kerjasama bagi memastikan usaha itu berjalan lancar.