Seladang 'diikat' helang

Pemain Perak Brendan Gan (kanan) melepaskan rembatan ke gawang gol ketika menentang pasukan Kedah pada pertembungan Liga Super Malaysia di Stadium Perak malam ini. - Foto Bernama
Pemain Perak Brendan Gan (kanan) melepaskan rembatan ke gawang gol ketika menentang pasukan Kedah pada pertembungan Liga Super Malaysia di Stadium Perak malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

[DIKEMASKINI]PERAK gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila terikat 1-1 dengan Kedah di Stadium Perak, malam tadi.

Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengasak ke kubu lawan dan Perak dilihat yakin dengan kembalinya tonggak utama mereka Gilmar Da Silva daripada penggantungan.

Tuan rumah bermula garang dengan beberapa percubaan bermula seawal minit kedua melalui penyerangnya, Muhammad Firdaus Sayadi tetapi hanya menerjah luar jaring.

Pelawat turut melancarkan serangan pada minit ke-6 melalui percubaan Fernando Rodriguez namun berjaya diselamatkan penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim.

Pemain Kedah, Mohd Fadzrul Danel menjadi pemain pertama dilayangkan kad kuning akibat kekasaran ke atas pemain Perak.

Gol pertama Perak dijaringkan pemain berjersi 11, Brendan Gan hasil voli cantik dari luar kotak penalti pada minit ke-18 yang gagal diselamatkan penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal.

Bagaimanapun kegembiraan pasukan The Bos Gaurus itu hanya seketika apabila Kedah berjaya menyamakan kedudukan pada selang dua minit kemudian melalui jaringan pemain import mereka, Renan Da Silva.

Perak membuat pertukaran awal dengan memasukkan Muhammad Rafiuddin Rodin bagi menggantikan Nazirul Naim Che Hashim yang mengalami kecederaan pada minit ke-27.

Artikel Berkaitan:

Ketika penghujung separuh masa pertama, pemain Kedah, Muhammad Shakir Hamzah dilayangkan kad kuning kerana mengasari Pemain Perak, Brendan Gan.

Separuh masa kedua Perak membuat pertukaran kedua dengan mengeluarkan Mohd Nor Hakim Hassan dan memasukkan J.Partiban.

Perlawanan terus rancak dengan Perak membuat serangan bertali arus ke kubu lawan.

Dalam kerancakkan tersebut, perlawanan terpaksa dihentikan kira-kira 20 minit selepas pengadil perlawanan, Hamdan Awang mengalami kecederaan pada minit ke-63.

Suasana di dalam Stadium Perak bingit dengan sorakan penonton yang mahu perlawanan diteruskan segera.

Pegawai keempat pertandingan, Abdul Halim Mohd Ramlan sepatutnya menggantikan Hamdan tetapi ia mendapat bantahan daripada Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak kerana individu tersebut berasal dari Perak.

Selepas perbincangan dibuat dengan Komisioner Perlawanan, M Elagkoven akhirnya perlawanan diteruskan ketika masa sebenar hampir tamat dengan pembantu pengadil pertama, Mohd Shahreen Omar menggantikan pengadil yang cedera.

Momentum perlawanan kelihatan terganggu akibat perlawanan yang dihentikan seketika berikutan insiden itu.

Kedah membuat pertukaran pertama mereka dengan mengeluarkan Zaquan Adha dan diganti dengan Farhan Roslan.

Benteng pertahanan Perak kemudiannya diuji dengan serangan demi serangan oleh pasukan Kedah, namun kekentalan jentera pertahanan yang dikemudi Kapten, Shahrul Saad menafikan beberapa percubaan ke pintu gol Perak.

Perlawanan tamat dengan keputusan kedua-dua pasukan berkongsi mata.