Kaunter perkhidmatan di Negeri Sembilan dibuka seperti biasa

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Bagi memastikan kelancaran perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat, semua kaunter perkhidmatan akan dibuka sepenuhnya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkhidmatan ini akan memastikan bahawa rakyat tidak menunggu terlalu lama di mana-mana jabatan dan akan mengurangkan risiko penyebaran virus Covid-19.

"Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk membuka 100 peratus kaunter perkhidmatan demi kepentingan rakyat, agar mereka tidak menunggu terlalu lama.

"Walau bagaimanapun, keputusan ini tertakluk kepada kaunter perkhidmatan di bawah kelolaan kerajaan Negeri Sembilan sahaja dan tidak melibatkan perkhidmatan di Jabatan Persekutuan," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Aminuddin menasihatkan kepada semua rakyat di negeri ini agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang PKPB ini.

Katanya, sehingga Sabtu, terdapat 27 kluster yang masih belum diisytiharkan tamat di Negeri Sembilan.

"Kita semua adalah frontliner dan sama-sama bertanggungjawab dalam memastikan Negeri Sembilan tidak dikenakan PKP 2.0 yang sudah pastinya akan menjejaskan pemulihan ekonomi," katanya.

Setakat Jumaat, sebanyak 70 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan di Negeri Sembilan, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 9,539 kes.

Artikel Berkaitan:

Dari jumlah kumulatif tersebut, 8,312 kes telah sembuh dan discaj, 1,209 kes yang masih menerima rawatan di wad dan 18 kes telah meninggal dunia.