Ugut bakar motosikal bapa kerana kotak rokok

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Hanya kerana memberi jawapan tidak tahu selepas ditanya di mana diletakkan kotak rokok, seorang warga emas diserang anak lelakinya dalam kejadian di Telemong di sini petang Rabu.

Ketika kejadian kira-kira jam 6.45 petang, suspek yang berusia 20-an turut bertindak mengugut akan membakar motosikal milik warga emas itu sambil mengambil mancis.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa berada di luar rumah dan didatangi suspek secara tiba-tiba lalu bertanyakan di mana kotak rokoknya.

Kata sumber, mangsa terus menjawab tidak tahu sebelum suspek mengamuk lalu mengambil mancis bertujuan untuk membakar motosikalnya.

"Terkejut dengan tindakan anak lelakinya, mangsa cuba menghalang tindakan itu lalu berlaku pergelutan di antara mereka.

"Mangsa yang bimbang dengan keselamatannya dan keluarga serta mengesyaki suspek ada mengambil dadah, mangsa terus membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi Sabtu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel Berkaitan: