Polis Sepang terima 1,491 permohonan rentas negeri, daerah

Polis Sepang melaksanakan lapan sekatan jalan raya di sekitar daerah itu dalam usaha mengekang wabak Covid-19.
Polis Sepang melaksanakan lapan sekatan jalan raya di sekitar daerah itu dalam usaha mengekang wabak Covid-19.
A
A
A

SEPANG - Polis menerima 1,491 permohonan rentas daerah dan negeri di daerah ini sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi tempoh dua hari sejak Rabu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, daripada jumlah itu, kita telah meluluskan 1,453 permohonan manakala 38 ditolak.

Menurutnya, antara sebab permohonan ditolak adalah kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti jumlah penumpang dalam kenderaan dan lain-lain.

"Mengikut statistik pada hari pertama PKP, Polis Sepang menerima 837 permohonan. Sebanyak 16 telah ditolak dan 821 diluluskan.

"Bagi hari berikutnya, kita telah meluluskan 632 permohonan selepas 654 permohonan diterima. Selebihnya iaitu 22 telah ditolak," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mengulas berkenaan pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR), sebanyak lapan SJR telah ditubuhkan di sekitar daerah Sepang.

Katanya, lokasi itu adalah Bandar Baru Salak Tinggi ke Nilai, Pekan Salak ke Nilai, Pekan Salak ke Kampung Jijan, hadapan Balai Polis Sungai Pelek, susur keluar Tol Southville, susur keluar Tol Serenia, susur keluar Tol Putrajaya dan susur keluar Tol Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Jumlah SJR ini akan bertambah bergantung kepada keadaan dan situasi semasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, orang ramai diingatkan untuk terus mematuhi SOP PKP bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang-undang.