'Fomo', 'herd mentality' simptom aibkan orang di media sosial

 Dr Taufiq Razif - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Dr Taufiq Razif - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Simptom 'fear of missing out' atau Fomo yang wujud dalam kalangan masyarakat pada hari ini menjadi faktor utama yang mendorong mereka untuk menulis dan berkongsi perkara-perkara negatif yang mengaibkan, mengeji termasuk melakukan 'troll' di media sosial.

Aktivis kemanusiaan, penulis dan influencer parenting, Dr Taufiq Razif berkata, simptom Fomo itu menyebabkan masyarakat terjebak melakukan perkara tersebut kerana mereka tidak mahu tertinggal trend, malah menganggapnya sebagai sesuatu yang 'cool' untuk dilakukan.

Beliau berkata, selain itu masyarakat atau komuniti pada hari ini juga mempunyai 'herd mentality' iaitu mereka melihat kebenaran berdasarkan jumlah dan bukan kebenaran berdasarkan al-Quran atau hadis.

Katanya, kebanyakan golongan 'herd mentality' ini akan terpengaruh dengan jumlah yang banyak, sebagai contoh jika mereka melihat 10 komen terawal pada sesuatu status atau hantaran di media sosial yang positif, maka komen-komen berikutnya yang diberikan akan menjadi positif.

"Bagaimanapun jika 10 atau 20 komen awal itu negatif, maka komen-komen seterusnya yang ditulis menerusi papan kekunci akan turut menjadi negatif.

"Itu adalah keadaan bagaimana 'herd mentality' kita dimanipulasi sehingga kita tak mahu ketinggalan untuk menjerumuskan diri dengan menyindir dan mengaibkan orang di media sosial," katanya pada Wacana al-Quran Siri ke-65 bertajuk Hebatkah Jadi Pejuang Papan Kekunci? yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf, di sini pada Jumaat.

Program itu turut menampilkan pendakwah bebas, Muhammad Asyraf Muhammad Ridzuan atau Imam Muda Asyraf sebagai panelis, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail selaku moderator dan Qari, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman yang memperdengarkan bacaan surah al-Hujurat ayat 10-12.

Taufiq berkata, cara paling baik untuk memerangi perkara sebegini adalah golongan yang baik-baik perlu keluar ke depan kerana beliau yakin di media sosial hari ini sangat ramai 'content creator' yang mampu menghasilkan kandungan atau idea yang positif untuk dikongsikan.

Artikel Berkaitan:

"Apabila ramai orang buat content yang positif, maka fomo itu dapat digunakan untuk benda-benda yang baik.

"Bayangkan jika satu komuniti atau rakyat Malaysia berkongsi status yang baik dan positif, orang lain yang melihat akan terpengaruh dan berasa tidak mahu ketinggalan untuk buat perkara yang sama. 'Vibe' begini yang kita mahu wujudkan," katanya.

Dalam pada itu, Taufiq berkata, sebagai komuniti yang bertanggungjawab, amat penting untuk seseorang itu memastikan apa yang hendak ditulis atau content yang hendak dikongsi di media sosial itu mempunyai kuasa untuk mempengaruhi orang.

"Kadang-kadang kita menganggap tulisan kita hanya akan dibaca tetapi sebenarnya ia mampu mempengaruhi orang yang membaca tambah lagi jika kita merupakan individu yang ada kredibiliti, influencer, mempunyai pengikut yang ramai di media sosial atau mempunyai nama.

"Malah untuk menjadi berpengaruh juga ada tiga fasa iaitu fasa No (ditolak), fasa like (disukai) dan fasa trust (dipercayai). Fasa ini memainkan peranan, kita ambil contoh, Nabi Muhammad SAW di mana ALLAH jadikan baginda seorang al-amin (dipercayai) barulah dakwahnya tersebar dengan laju.

"Maka sama juga dengan kita. Jika ada orang percaya dan apabila kita kongsikan sesuatu di media sosial, orang akan pegang dan percaya," katanya.

Tambah Taufiq, oleh itu sangat penting untuk memastikan apa yang dikongsi adalah kuasa untuk mengubah orang menjadi lebih baik dan ia akan ditanyakan ALLAH kelak.