Beri Ahmad Zahid peluang

Abdul Aziz percaya Ahmad Zahid masih ada strategi yang bakal menguntungkan parti.
Abdul Aziz percaya Ahmad Zahid masih ada strategi yang bakal menguntungkan parti.
A
A
A

KOTA KINABALU - Beri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi peluang kerana beliau masih ada strategi yang bakal menguntungkan parti, kata Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain.

Beliau berkata, semua ahli parti harus menghormati serta menyanjungi perlembangan parti dan Ahmad Zahid dipilih melalui proses yang sah.

"Mendesaknya melepaskan jawatan tidak akan menyelesaikan sebarang masalah sebaliknya lebih memecahbelahkan parti.

"Kita masih ada Majlis Tertinggi (MT) yang menilai perjalanan parti. Jika kita mempertikaikan presiden, maka kita perlu juga mendesak seluruh ahli MT melepaskan jawatan mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Abdul Aziz berkata lagi, pemilihan jawatan dalam parti masih ada untuk tahun ini dan sesiapa saja boleh mencabar kedudukan presiden.

"Sedarlah, kita di selekoh paling getir. Buat masa ini, nasihat saya, berilah beliau peluang, masih ada strategi yang bakal menguntungkan parti.

"Kita akan melihatnya di penghujung garisan. Yakin dan percayalah dengan beliau, tak banyak sikit," katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Ahmad Zahid banyak menempuh detik yang sukar dan rintangan dihadapi sama seperti parti politik yang lain.

Artikel Berkaitan:

"Beliau sudah melakukan yang terbaik ke arah transformasi parti setakat ini. Sebagai contoh, lihat sahaja kedudukan pemuda dan wanita di dalam parti.

"Beliau lebih banyak membabitkan penyertaan mereka dalam segala hal, sehingga mendorong kepada tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Malah, presiden memberikan autonomi kepada UMNO Sabah bagi menentukan hala tuju sendiri. Ia berhasil dan kami kini adalah sebahagian daripada kerajaan negeri dan kami akan terus memperkukuhkan UMNO Sabah," katanya.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Mohd Helmi Buang menerusi kenyataannya meminta presiden supaya berehat bagi memberi peluang kepada muka-muka baharu membawa perubahan kepada parti.

ARTIKEL BERKAITAN: Sudah sampai masa kluster besar UMNO berundur

Minta Ahmad Zahid berehat: Jangan keruhkan lagi keadaan, kata Rizam