Tun Salleh Abas banyak sumbang kepakaran kepada Kelantan

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menzahirkan ucapan takziah atas pemergian bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr Mohamed Salleh Abas awal pagi Sabtu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, tokoh disegani itu banyak menyumbang kepakaran kepada negeri khususnya Enakmen Jenayah Syariah (II) Kelantan yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 25 November 1993.

“Takziah kepada ahli keluarga. Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat dan menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang soleh,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mohamed Salleh, 91, menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.20 pagi Sabtu di Hospital Sultanah Raja Nurzahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, Terengganu.

Khamis lalu, media melaporkan Allahyarham Mohamed Salleh yang juga Pengerusi as-Salihin Trustee Bhd disahkan positif Covid-19 dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ serta berada dalam keadaan stabil.

Allahyarham berasal dari Kampung Raja, Besut merupakan Ketua Hakim Negara pada tahun 1984 hingga 1988.

Sementara itu, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan Dan Hubungan Seranta, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menerusi Facebook menyifatkan negara kehilangan seorang tokoh perundangan yang banyak jasa.

“Khususnya dalam memartabatkan perundangan Islam. Antara jasa besar beliau adalah mendrafkan Enakmen Undang-Undang Islam di Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:Tun Salleh Abas meninggal dunia

Tun Salleh Abas positif Covid-19