Peniaga, pekerja harian boleh mohon kebenaran pergerakan

Shafien ketika memantau SJR di Pasir Pekan, Kota Bharu awal pagi Sabtu.
Shafien ketika memantau SJR di Pasir Pekan, Kota Bharu awal pagi Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Peniaga dan pekerja harian yang tidak mempunyai majikan khusus boleh membuat permohonan perjalanan di balai polis berhampiran untuk tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, permohonan boleh dibuat sekali sahaja untuk tempoh dua minggu tersebut tanpa perlu berulang alik ke balai untuk tujuan yang sama setiap hari.

Menurutnya, langkah tersebut adalah salah satu daripada penambahbaikan yang dilakukan dalam PKP di Kelantan kali ini bagi memastikan pergerakan ekonomi masih boleh diteruskan.

"Selain itu, kita juga menyediakan surat permohonan kebenaran perjalanan di sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan bagi memudahkan mereka yang dalam kecemasan untuk bergerak.

"Sebelum ini mereka perlu ke balai terlebih dahulu untuk minta kebenaran, tapi kali ini kita permudahkan kaedah ini tetapi dengan syarat mereka wajib mengemukakan bukti sahih kenapa mereka memerlukan kebenaran pergerakan tersebut," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Terdahulu, beliau hadir membuat pemantauan di SJR Pasir Pekan, di sini.

Pelaksanaan SJR di Kelantan melibatkan PDRM, ATM dan Rela yang bertugas mengikut penggiliran 24 jam.
Pelaksanaan SJR di Kelantan melibatkan PDRM, ATM dan Rela yang bertugas mengikut penggiliran 24 jam.

Mengulas lanjut, katanya, untuk PKP kali ini, seramai 448 anggota yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan ditempatkan di 19 SJR di sempadan 10 jajahan di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata pihaknya yakin pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan PKP ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin kerana optimis penduduk Kelantan yang hakiki adalah mereka yang sentiasa patuh pada arahan pihak berkuasa.

"Orang Kelantan hakiki ini mereka patuh arahan dan perantau pula saya yakin sudah balik ke kawasan masing-masing. Harapan saya ialah kita semua tidak alpa lagi selepas ini untuk menjaga diri dan keselamatan," katanya.