Jalani ujian swab Covid-19 sebelum bantu mangsa banjir

Sukarelawan MyRaudhah bergambar bersama Ahmad Nazlan dan Ruhaidini selepas pelancaran gotong-royong di Masjid Kampung Kelola, Jerantut.
Sukarelawan MyRaudhah bergambar bersama Ahmad Nazlan dan Ruhaidini selepas pelancaran gotong-royong di Masjid Kampung Kelola, Jerantut.
A
A
A

JERANTUT - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MyRaudhah menyahut saranan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggalakkan petugas sukarelawan membuat saringan Covid-19 sebelum menjalankan program khidmat masyarakat di kawasan bencana.

Pengasas MyRaudhah, Datuk Ruhaidini Abd Kadir berkata, langkah bagi memastikan setiap sukarelawan tidak membawa gejala Covid-19 ke kawasan musibah banjir, sekaligus mengekang penularan wabak berkenaan di lokasi yang bakal menerima bantuan.

“Dalam usaha membantu mangsa banjir ini, MyRaudhah banyak memberikan bantuan pasca banjir dengan misi meringankan beban mangsa khususnya di kawasan pedalaman, jadi kami perlu berusaha mengekang masalah lain kepada mereka.

"Untuk misi kali ini, seramai 40 sukarelawan MyRaudhah yang berpusat di ibu negara berkampung selama tiga hari di Temerloh dan Jerantut bermula semalam,” katanya.

Ruhaidini (kiri) bersama sukarelawan membersihkan sejadah yang terjejas di Majid Kampung Kelola, Jerantut.
Ruhaidini (kiri) bersama sukarelawan membersihkan sejadah yang terjejas di Majid Kampung Kelola, Jerantut.

Ruhaidini berkata, di Temerloh MyRaudhah kumpulan ini melakukan pembersihan di beberapa buah rumah, masjid di Taman Sri Semantan, pembersihan wakaf di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja Songsang dan penyampaian sumbangan barangan kepada 12 keluarga yang terjejas akibat banjir di Kampung Bukit Tingkat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu di Jerantut kumpulan ini turut membersihkan Masjid Kampung Kelola, iaitu masjid tertua di tebing Sungai Pahang.

AHMAD NAZLAN
AHMAD NAZLAN

Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris turut bersama dalam gotong-royong ini.

Bagi Ahmad Nazlan, beliau amat berbangga dengan inisiatif MyRaudhah yang mewajibkan semua sukarelawannya melakukan ujian swab terlebih dahulu sebelum turun ke padang membantu mangsa banjir.

“Ujian saringan Covid-19 wajar diberikan secara percuma memandangkan NGO-NGO ini melakukan aktiviti kemasyarakatan dengan menyumbang tenaga dan wang ringgit tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.

"Inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada lebih ramai NGO untuk turun padang memberi bantuan di kawasan yang ditimpa bencana sekaligus dapat mendidik semua pihak agar mematuhi SOP dan secara tidak langsung kita dapat bersama melandaikan lekuk Covid-19 di negara kita,” katanya.

Salah seorang sukarelawan sedang membersihkan bahagian dinding yang kotor akibat pasca banjir.
Salah seorang sukarelawan sedang membersihkan bahagian dinding yang kotor akibat pasca banjir.

Dalam masa sama, Ahmad Nazlan menzahirkan penghargaan kepada MyRaudhah di atas inisiatif dan usaha murni pertubuhan ini untuk misi pasca banjir bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir khususnya yang tinggal di kawasan pedalaman.

"Cabaran sebenar bagi mangsa-mangsa banjir adalah aktiviti pasca banjir kerana beban kerja yang banyak dan kehadiran NGO amat dialu-alukan bagi meringankan beban mereka,” katanya.