Hospital swasta setuju rawat pesakit Covid-19

Dr Noor Azmi
Dr Noor Azmi
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) bersetuju untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha merawat pesakit Covid-19 di fasiliti masing-masing.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, persetujuan itu diutarakan ketika perbincangan awal pihaknya bersama APHM pada Rabu.

Beliau berkata, KKM akan mengadakan perbincangan lanjut dengan APHM dan pemegang lesen hospital swasta lain dalam masa terdekat supaya mereka dapat mengutarakan segala persoalan dan memanfaatkan sesi berkenaan.

“Secara dasarnya, APHM mewakili pihak hospital swasta telah menyatakan hasrat untuk berganding bahu dan akan bersedia merawat pesakit Covid-19 di fasiliti masing-masing.

“Saya amat berpuas hati dengan hasil perbincangan dan semangat kolaboratif serta solidariti yang ditunjukkan oleh semua pihak yang hadir dalam mesyuarat tersebut.

“KKM juga menyambut baik perkembangan ini dan akan meneliti beberapa isu serta kebimbangan yang telah dibangkitkan oleh wakil APHM sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi berkata, kementerian pada peringkat awal telah bersetuju agar rawatan pesakit Covid-19 berpusat di fasiliti kerajaan, namun pada masa sama, KKM tidak pernah menghalang mana-mana hospital swasta menawarkan perkhidmatan rawatan bagi pesakit Covid-19.

“Ketika ini, negara kita sedang menghadapi gelombang ketiga Covid-19 di mana ia jauh lebih mencabar dari situasi sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Sehubungan itu, sistem kesihatan awam dijangka akan berdepan cabaran untuk menyediakan perkhidmatan bagi menampung peningkatan ketara kes Covid-19,” katanya.

Terdahulu, APHM telah mengadakan perbincangan dengan KKM berhubung pembabitan hospital swasta dalam mengendalikan pesakit Covid-19.

Presidennya, Datuk Dr Kuljit Singh berkata, perbincangan tersebut bertujuan bagi menentukan aspek berkaitan kawasan yang memerlukan sokongan pihak swasta, kriteria hospital dan juga prosedur operasi standard (SOP) pengendalian pesakit.