Darurat pulihkan keyakinan pelabur asing

Pakar ekonomi berkata, pelabur asing sebenarnya lebih tidak menyakini keadaan ekonomi negara sebelum ini kerana berdepan dengan krisis ketidakstabilan politik yang berlarutan.
Pakar ekonomi berkata, pelabur asing sebenarnya lebih tidak menyakini keadaan ekonomi negara sebelum ini kerana berdepan dengan krisis ketidakstabilan politik yang berlarutan.
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar ekonomi menyifatkan langkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksanakan darurat sebenarnya memberi ‘insurans’ kepada pelabur asing untuk meneruskan pelaburan di negara ini.

Profesor Dr Hoo Kee Ping berkata, di sebalik dakwaan darurat bakal menyebabkan keyakinan pelabur asing hilang, hakikatnya proklamasi darurat memberi hikmah kepada mereka.

Katanya, pelabur asing sebenarnya lebih tidak menyakini keadaan ekonomi negara sebelum ini di mana negara berdepan dengan krisis ketidakstabilan politik yang berlarutan sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

“Buktinya mudah. Sekiranya keyakinan pelabur asing terhadap ekonomi negara semakin terhakis, pastinya kadar tukaran mata wang Ringgit Malaysia (RM) semakin merudum, kadar faedah pembelian saham dan bon kerajaan akan berlaku banyak pergerakan serta nilai pasaran saham menurun mendadak sebaik sahaja proklamasi darurat diumumkan.

“Tetapi semua itu tidak berlaku. Nilai pasaran saham jangka masa pendek (Global Portfolio Investor) pada Rabu kembali naik sehingga 1.2 peratus, nilai pasaran saham di bawah pelaburan langsung asing (FDI) hanya turun tidak sampai 1.5 peratus dan paling penting nilai tukaran mata wang RM hanya turun setengah peratus,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan beberapa pemimpin politik pembangkang dan penganalisis ekonomi yang menyuarakan kebimbangan pelaksanaan darurat diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada Rabu akan menghakis keyakinan pelabur asing, sekaligus mengakibatkan rating kredit negara semakin terjejas.

Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri pula menegaskan usaha mengekalkan kestabilan politik adalah langkah paling penting yang perlu dilakukan kerajaan bagi meningkatkan keyakinan pelabur asing.

Justeru katanya, pelaksanaan darurat juga adalah masa terbaik untuk kerajaan kembali fokus memulihkan ekonomi, menyusun strategi menarik lebih banyak pelaburan asing serta memfokuskan kebajikan rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Lagipun dari segi logik akal, tidak mungkin seorang Perdana Menteri tergamak mahu menghancurkan ekonomi negara hanya kerana mahu mengekalkan kuasa politik.

“Bagi saya, pada tempoh darurat, semua pihak kena bertenang, melaksanakan gencatan politik dan bersama-sama memberi buah fikiran terbaik untuk membantu kerajaan memulihkan kembali ekonomi yang terkesan teruk akibat Covid-19,” katanya.