Sastera untuk OKU

PERSPEKTIF

No Image Caption
A
A
A

PADA hari ini sastera dan budaya dikuasai sepenuhnya oleh orang yang sempurna. Ini adalah perkara biasa kerana sastera dan budaya memerlukan tubuh yang sihat dan OKU mempunyai kekurangan dan kelemahan.

Saya juga seorang sasterawan dengan memenangi Hadiah Novel Remaja, lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia, sembilan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dan lain lagi. Itu adalah kejayaan yang membanggakan untuk OKU.

Pada waktu ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membuat penilaian Sasterawan Negara ke-15 dan ini menyemarakkan dunia sastera. Kita tidak perlu menanti bertahun untuk Sasterawan Negara dan diharapkan tiap tahun akan diadakan.

Bagaimana OKU dengan sastera?

Kedapatan penulis sastera dalam kalangan golongan OKU daripada yang saya kumpulkan di media sosial dan internet. Kita tidak boleh lupa JM Aziz (1934-2002). Seorang penyair dari Terengganu yang cacat penglihatan dan termasyhur sebab keupayaan menghasilkan sajak bermutu untuk tatapan umum.

Golongan OKU adalah golongan minoriti dalam semua kategori walau 15 peratus atau 4.7 juta daripada jumlah penduduk Malaysia. Pada saya, golongan minoriti perlu lebih berani untuk bangun memperjuangkan hak dalam tahun 2021 dan seterusnya. Apalagi supaya suara OKU tidak tenggelam begitu sahaja dan terus diketepikan.

Golongan politikus yang menjaga sastera selalu terlepas pandang isu sebenar dalam kalangan rakyat marhaen. Politikus lebih menjaga periuk nasi daripada suara yang tidak kedengaran di media massa.

Golongan OKU adalah lebih ramai daripada orang asal, peneroka Felda dan guru-guru. Tetapi OKU punya nasib berlainan untuk diperjuangkan.

Artikel Berkaitan:

Ternyata golongan OKU memerlukan bimbingan penulisan dan sastera dalam menghadapi kepayahan dan kesukaran.

OKU mempunyai bakat terpendam dan kemudian terkubur. OKU terbiar begitu sahaja di mana hasil tulisan OKU tercicir tanpa pernah diterbitkan.

Kita mahukan potensi diketengahkan secara meluas untuk khalayak umum yang tidak tahu siapa penulis OKU.

Golongan OKU sepatutnya diberikan ruang dan peluang yang setimpal untuk menulis dengan teratur. Menerbitkan karya OKU dengan sendiri memiliki keyakinan diri yang lebih tinggi untuk menulis.

Bidang penulisan adalah pendekatan yang cukup berkesan untuk mendidik masyarakat dalam memahami isu OKU yang sebenar. Golongan OKU tidak sepatutnya memendamkan perasaan, pengalaman dan pahit getir dalam sanubari.

Memang ramai OKU yang berminat untuk mendalami bidang penulisan. Seharusnya sebuah persatuan OKU ditubuhkan untuk sastera. Mungkin Senator Ras Adiba Radzi, bekas rakan sekerja TV3 boleh memikirkannya.

Ramai OKU yang sebenarnya menghasilkan karya namun hanya untuk simpanan sendiri. OKU tidak tahu siapa yang boleh dijadikan tempat rujukan. OKU tidak berapa tahu bagaimana mahu menghantar karya kepada penerbitan untuk siaran.

OKU harus meluahkannya segala dengan cara terhormat dengan menulis sebaiknya sastera. OKU mesti bangkit dari bawah tempurung dan menyumbangkan idea mengenai isu OKU kepada masyarakat dengan lebih yakin. Namun tidak adil untuk menuding jari menyalahkan sesiapa kalau tidak ramai penulis dalam golongan OKU yang tampil.Usaha diharap mampu memperkasa golongan OKU untuk bangkit bersuara bagi diri sendiri dan kumpulan yang diwakili. Penulisan mampu menjadi terapi dan rehab yang mujarab kepada golongan OKU.

Pihak syarikat penerbitan harus menerbitkanlebih banyak karya sastera OKU supaya karya tersebut mudah didapati di pasaran. Penerbit juga perlu memberikan bayaran setimpal dan berpatutan kepada OKU.

Kerajaan juga boleh meningkatkan jumlah penerbitan karya sastera OKU dalam setahun dan bekerjasama dengan seberapa ramai penulis OKU untuk menghasilkan karya sastera OKU yang bermutu.

Kita harap Sinar Harian dapat memulakan sastera untuk OKU!

*Mohd Fudzail Mohd Nor ialah seorang OKU yang pernah menjadi CEO syarikat di Dubai dan Abu Dhabi serta pernah memenangi lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia