Segenggam kopi, sebiji gelas

A
A
A

SEBETULNYA, kisah segenggam kopi dan sebiji gelas adalah kisah yang saya baca dan dengar menerusi media sosial sebelum ini. Namun dengan sedikit penambahbaikan, semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua.

Kadangkala, kita perlu banyak perbandingan sesuatu dengan sesuatu (analogi) bagi menambah kefahaman mengenai kehidupan. Apa yang jelas, cabang ilmu cukup banyak untuk memperkasakan diri. Pun begitu, kita perlu sentiasa mencari dan pelajari.

Kisahnya, berkaitan dengan seorang pemuda yang sentiasa bermasalah dalam hidup. Puas sudah mencari jalan untuk pulih, namun masih belum bertemu individu yang boleh membantunya. Pada suatu hari, beliau berjumpa dengan seseorang dan mengadu masalahnya kepada lelaki berkenaan. Beliau telah diminta untuk membawa segenggam kopi dan sebiji gelas bagi ‘menyelesaikan’ masalah tersebut.

Kemudiannya, beliau diminta untuk mengisi separuh air ke dalam gelas dan memasukkan segenggam kopi, seterusnya meminum kopi tersebut. Namun beliau tidak dapat menghabiskan kopi itu kerana terlalu pahit.

Seterusnya, beliau diminta untuk mencurahkan kopi yang pahit tadi ke dalam sebuah baldi yang berisi air dan meminta beliau untuk minum. Tanya lelaki berkenaan: “Pahit lagi tak kopi tersebut?.

Jawab beliau: “Sudah tidak pahit tetapi dah menjadi tawar”. Balas lelaki berkenaan: “Sebetulnya, kopi itu pahit kerana bekasnya kecil, jika bekas semakin besar maka semakin kurang pahitnya”. Tambah beliau lagi: “Begitu juga dengan kehidupan, kita akan berasa pahit sekiranya hati yang menampung kepahitan itu adalah kecil. Ini bermakna, jika hati kita besar, maka jiwa kita pun turut membesar dan boleh tawarkan kepahitan dalam diri”.

Menurut Pak Hamka dalam bukunya Kesepaduan Iman dan Amal Saleh, beliau telah menegaskan: “Kehidupan yang tidak berjumpa dengan kesulitan, bukanlah hidup. Bertambah tinggi nilai cita, bertambah pula penghalangnya. Orang yang tidak berjumpa kesulitan, bukanlah orang yang patut disebut orang. Bertambah jauh perjalanan, bertambahlah kelihatan jauhnya yang akan ditempuh.

“Kadangkala terancamlah jiwa oleh kelemahan dan timbullah putus asa. Inilah tanda kematian. Jiwa kita tidak boleh dibiarkan merana dan penyakit jiwa tidak boleh dibiarkan merana meliputi diri.”

Artikel Berkaitan:

Sesungguhnya, impak jiwa yang kecil ini akan memberi kesan yang besar kepada kesihatan mental. Menurut kenyataan akhbar oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (2019), Secara global, WHO melaporkan bahawa bunuh diri adalah di antara 10 penyebab utama kematian di dunia dan penyebab kedua kematian bagi mereka yang berumur 15 hingga 29 tahun.

Bagi setiap nyawa yang terkorban, dianggarkan 20 orang ahli keluarga atau rakan-rakan akan mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonomi. Secara purata, satu kematian berlaku setiap 40 saat menjadikan hampir 800,000 orang mati setiap tahun akibat bunuh diri. Di Malaysia tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun menunjukkan peningkatan tren iaitu prevalen idea bunuh diri adalah 10 peratus pada tahun 2017 berbanding 7.9 peratus pada tahun 2012.

Hakikatnya bagi menghilangkan kepahitan hidup, kita bukan sahaja perlukan jiwa yang besar namun sentiasa membersihkan jiwa selaras dengan fiman ALLAH: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih, bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu, susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” Surah al-Shams, 91:9-10.

Walaupun bukan mudah untuk besarkan jiwa dan bersihkan hati, namun itulah hakikat yang perlu kita terapkan dalam diri bagi menghadapi ketidaktentuan dunia yang semakin mencabar setiap hari. Jaga jiwa kita.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis