Di mana silapnya isu banjir?

A
A
A

DUA orang rakyat Belanda, suami isteri Nol dan Wil Hooijmaaijers, sedang leka melihat siaran berita tentang kejadian banjir yang berlaku di Britain. Mereka menggeleng-geleng kepala melihat teruknya banjir.

Kata Nol merujuk kepada siaran berita itu: “Memang teruk. Kami dah pernah melaluinya. Apatah lagi bila melihat paras air naik dengan begitu cepat hingga ke paras lutut.”

“Kami bernasib baik,” kata Wil pula sambil minum kopi panas yang dihidangkan di atas meja klasik berkayu Oak. Beliau memandang keluar tingkap menyaksikan ladang mereka yang kini sedang tumbuh subur.

Sekarang mereka sangat lega. Mereka sanggup mengorbankan rumah dan ladang untuk memberi laluan kepada kerajaan menyelesaikan masalah banjir yang berlaku demi menyelamatkan seramai 150,000 orang yang tinggal di Bandar Den Bosch.

Encik Hans Brouwers menyatakan, mereka yang dipindahkan untuk projek tebatan banjir ini, tidak diberi pampasan. Mereka hanya dibayar mengikut harga pasaran untuk rumah dan ladang yang diambil alih kerajaan sahaja.

“Kami hanya membantu mereka untuk pindah. Dan mereka sanggup untuk berkorban demi negara,” kata Encik Hans Brouwers lagi yang merupakan pakar sungai.

“Apa yang berlaku ini adalah bencana alam dan kami telah memperkenalkan Delta Program. Tujuan program ini adalah untuk memastikan Belanda dilindungi daripada bencana banjir,” katanya Encik Hans Brouwers lagi dengan penuh bangga.

Rakyat Belanda ratanya-ratanya berbangga dengan sistem air yang telah dijalankan oleh kerajaan mereka. Kata Nol: “Kami rasa berbaloi membayar cukai yang kemudian diberi semula kepada kesejahteraan rakyat jelata.”

Artikel Berkaitan:

Lain ceritanya pula di sebuah negara Bani Keturah. Mak Cik Kiah meraung-meraung menyatakan ketidakpuasan hatinya. Hampir setiap tahun Mak Cik Kiah bergelut dengan banjir.

“Penat macam ini. Tidak ada penyelesaian ke? Ini dok asyik bergaduh sahaja, sama ada banjir ini bencana alam ke bencana manusia!” jerit Mak Cik Kiah.

Mak Cik Kiah yang sedang berada di pusat perlindungan sambil membaca akhbar perdana. Katanya lagi, “Aku tahulah, kalau banjir kilat ni biasanya tidak lain, memang disebabkan sifat manusia. Longkang tersumbat dan buang sampah merata-rata. Tapi kalau kat kampung tu, biasanya sebab dok tarah hutan.

“Kalau bencana alam kita boleh tahu bezanya. Air sungai melimpah jernih sahaja. Ini kalau dah macam teh ais, mesti sebab masalah hutan,” kata Mak Cik Kiah lagi geram.

“Sabar mak cik. Kerajaan sedang bertungkus-lumus untuk meyelesaikan banjir. Kami pun telah mengenalpasti sebab musabab banjir. Hasil kajian kami dan orang bijak pandai ada dua sebab. Satunya memang disebabkan bencana alam dan satu lagi isu kerakusan manusia.

“Pihak kerajaan juga telah mengambil tindakan sejak dahulu kala lagi Mak Cik Kiah, seperti Rancangan Bani Keturah Kedua, tahun 1971 hingga 1975, sebanyak RM14 juta dibelanjakan untuk tebatan banjir. Rancangan Ketiga sebanyak RM56 juta, Keempat RM141 juta sudah dibelanjakan. Dianggarkan pada tahun-tahun akan datang, akan menelan belanja berbilion-bilion lagi,” katanya wakil rakyat negara Bani Keturah bersungguh-sungguh yang kebetulan sedang membuat lawatan bodek.

“Banyak juga belanja ya?” Mak Cik Kiah bertanya sambil menggaru dagu.

“Ya banyak Mak Cik Kiah, daripada perbelanjaan itu kami juga mengambil langkah positif untuk mengawal banjir iaitu menubuhkan beberapa suruhanjaya tetap, melakukan beberapa kajian dan mewujudkan sistem ramalan dan amaran banjir,” katanya wakil rakyat itu bersungguh-sungguh.

“Oh ya, untuk masa terdekat ini, kami akan naik taraf sistem amaran banjir dan mewujudkan beberapa suruhanjaya lagi,” jawab wakil rakyat itu.

Dan sekali lagi Mak Cik Kiah meraung.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuhraya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com