Urus kewangan isi rumah ketika krisis

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TAHUN 2021 disambut dalam suasana negara masih lagi bergelut dalam menangani krisis kesihatan dan ekonomi.

Belanjawan 2021 yang memperuntukkan perbelanjaan terbesar dalam sejarah menyaksikan kerajaan berterusan mengamalkan belanjawan defisit yang memungkinkan hutang kerajaan Persekutuan makin meningkat.

Namun, satu statistik yang mungkin ramai tidak tahu ialah hutang isi rumah rakyat Malaysia adalah lebih tinggi daripada hutang kerajaan Persekutuan.

Laporan terkini daripada Kementerian Kewangan menunjukkan bahawa hutang isi rumah pada akhir Jun 2020 berjumlah RM1.27 trilion bersamaan 87.5 peratus daripada KDNK negara, iaitu melebihi hampir RM400 juta daripada hutang langsung kerajaan Persekutuan.

Majoriti hutang isi rumah (55.9 peratus) terdiri daripada hutang pinjaman hartanah diikuti pinjaman peribadi (14.2 peratus) dan pinjaman kenderaan (12.3 peratus).

Satu kebimbangan yang harus diberi perhatian ialah jika pandemik Covid-19 masih lagi tidak dapat dikawal pada tahun 2021, ia akan menyebabkan perintah kawalan pergerakan dilaksanakan untuk tempoh yang lama, menyebabkan banyak sektor perniagaan ditutup.

Jika ini berlaku, kemelesetan ekonomi negara akan berterusan dan mengakibatkan lebih ramai yang akan kehilangan pekerjaan atau gaji dikurangkan.

Ini akan memberi kesan kepada keupayaan isi rumah untuk membayar komitmen hutang bulanan, lebih-lebih lagi apabila komitmen hutang itu bertambah disebabkan pengambilan hutang baharu semasa tahun 2020.

Artikel Berkaitan:

Disebabkan itu, amatlah penting bagi kerajaan menggalakkan rakyat mempunyai kefahaman dan literasi kewangan pada tahun 2021 ini supaya ramai akan belajar berbelanja dengan berhemah selain mempunyai simpanan yang cukup.

Selain daripada memastikan ekonomi terus kembali pulih dengan suntikan fiskal secara langsung untuk meningkatkan kecairan dalam pasaran, atau secara tidak langsung menggalakkan rakyat berbelanja, kerajaan juga harus memainkan peranan sosial iaitu mengingatkan rakyat untuk berbelanja mengikut kemampuan dan gaya hidup yang sesuai.

Sebagai contoh, sejak 4 Januari ini, pencarum KWSP yang memohon untuk mengeluarkan wang daripada Akaun 1 KWSP di bawah Kategori 1 boleh mula menyemak status permohonan mereka.

Walaupun pencarum berhak mengeluarkan wang daripada Akaun 1 di bawah program i-Sinar ini, mereka juga harus diberi penerangan supaya pengeluaran wang tersebut hanyalah untuk melunaskan keperluan kewangan yang mendesak.

Ini kerana wang yang disimpan dalam KWSP adalah bertujuan menyediakan dana yang cukup untuk bersara. Selain itu, pulangan dividen KWSP yang tinggi membolehkan wang yang disimpan itu semakin bertambah setiap tahun.

Purata dividen KWSP sejak 10 tahun lepas (2010 sehingga 2019) adalah sekitar 6.17 peratus.

Jika pencarum mempunyai simpanan berjumlah RM10,000 dalam KWSP pada tahun 2010 dan berhenti mencarum pada tahun itu, jumlah RM10,000 itu sekarang sudah berjumlah RM18,198.

Kesimpulannya, rakyat boleh menjadikan tahun 2021 sebagai permulaan pengurusan kewangan yang baik.

* Profesor Madya Dr Ahmad Razman Abdul Latiff ialah Pengurus Pembangunan Perniagaan di Putra Business School (PBS)