FAM tiada hasrat ubah lokasi latihan Harimau Malaya

Skuad Harimau Malaya tidak dapat mengikuti kem latihan pusat susulan penguatkuasaan PKP di Lembah Klang ketika ini. - FOTO: FB FAM
Skuad Harimau Malaya tidak dapat mengikuti kem latihan pusat susulan penguatkuasaan PKP di Lembah Klang ketika ini. - FOTO: FB FAM
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak merancang untuk memindahkan kem latihan skuad Harimau Malaya di negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan pelaksanaan PKP di Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya ketika ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, sebarang perubahan lokasi bagi tujuan untuk mengadakan kem latihan tersebut bakal mengundang lebih banyak kerumitan.

“Prosedur operasi standard (SOP) untuk adakan kem ini ada sedikit kerumitan, bukan hanya call up basis dan kemudian (para pemain) boleh datang untuk latihan.

“Dari segi kemudahan, kita bukan hanya perlukan padang latihan tetapi juga kelengkapan lain seperti gimnasium, nutritionist (pakar pemakanan), fisioterapi dan sebagainya.

“Lagi pun dalam keadaan sekarang, mereka (pemain) dalam keadaan fizikal yang belum bersedia untuk mengikuti kem latihan kerana persiapan pramusim bagi (beberapa) pasukan turut tergendala.

“Tambahan pula, semua pemain perlu menjalani ujian calitan, kena kuarantin dahulu. Setelah dapat keputusan, baru boleh berlatih kerana mereka datang dari zon yang berbeza, jadi ia agak rumit,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurut Stuart, situasi sama turut akan berlaku ke atas setiap pemain jika sekiranya mereka pulang daripada kem latihan pusat untuk kembali menyertai kelab masing-masing.

“Perancangan kami... selepas pemain menjalani latihan skuad kebangsaan, mereka akan balik ke pasukan masing-masing, ikuti latihan pramusim dan seterusnya saingan liga bermula. Jadi flow itu nampak cantik.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, kalau liga ditangguhkan, tetapi perlawanan (kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023) bulan Mac masih tetap berjalan, kita akan atur (kem latihan) dan peruntukan kelonggaran untuk pasukan kebangsaan berlatih,” ujarnya.

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe pula berkata, beliau tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mengadakan sesi latihan luar dari Lembah Klang buat masa ini.

“Setakat ini kami hanya mengikut arahan yang telah ditetapkan kerajaan. FAM juga telah membuat keputusan membatalkan (kem) latihan pusat yang sepatutnya bermula esok (hari ini). Jadi kami hanya menunggu apa-apa makluman baharu daripada FAM,” jelasnya.