Itali berdepan krisis politik di tengah-tengah pandemik Covid-19

Krisis politik di Itali berlaku ketika kes pandemik Covid-19 masih mencatatkan angka kematian tinggi pada setiap hari di negara itu. - Foto AFP
Krisis politik di Itali berlaku ketika kes pandemik Covid-19 masih mencatatkan angka kematian tinggi pada setiap hari di negara itu. - Foto AFP
A
A
A

ITALI menghadapi krisis politik selepas parti pimpinan bekas Perdana Menteri, Metteo Renzi menarik sokongan kepada kerajaan perikatan pada Rabu lalu sekali gus menimbulkan isu keabsahan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Giuseppe Conte.

Berikutan itu, Conte, 56, yang merupakan bekas profesor undang-undang terpaksa berusaha untuk menyelamatkan kerajaannya melalui cara membentuk satu perikatan baharu selepas dua menteri daripada parti pimpinan Renzi, Italia Viva meletakkan jawatan daripada kerajaan.

Teresa Bellanova yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Pertanian manakala Elena Bonetti sebagai Menteri Keluarga daripada parti tersebut telah meletakkan jawatannya dalam Kabinet Conte sekali gus mewujudkan krisis politik di tengah-tengah pandemik Covid-19 yang melanda negara berkenaan.

Parti pimpinan Renzi tersebut adalah kecil tetapi ia dianggap penting dalam pentadbiran Conte.

Renzi, 46, pernah menjadi Perdana Menteri dari tahun 2014 hingga 2016.

Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte merupakan seorang bekas profesor undang-undang yang dilantik memegang jawatan itu pada tahun 2018. Foto AFP
Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte merupakan seorang bekas profesor undang-undang yang dilantik memegang jawatan itu pada tahun 2018. Foto AFP

Berikutan penarikan parti pimpinan Renzi itu, setakat ini tidak diketahui sama ada kerajaan pimpinan Conte itu masih mendapat majoriti dalam Parlimen.

Tindakan Renzi itu juga menyebabkan dua parti perikatan campurannya iaitu Pergerakan Lima Bintang (M5S) dan parti Demokratik tidak mempunyai majoriti di Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Conte pula dijadualkan berucap di Dewan Perundangan dan Dewan Senat pada minggu depan dan undi percaya terhadap kerajaannya akan dilakukan di dua dewan berkenaan sebagai cara untuk menyelesaikan krisis tersebut.

Menurut akhbar The Local, beberapa pemerhati politik menjangkakan Conte akan melakukan rombakan Kabinet sama ada memujuk sebahagian menteri meletakkan jawatan secara sukarela dan mengemukakan senarai baharu Kabinet kepada Presiden, Sergio Mattarella.

Media-media Itali turut membuat spekulasi bahawa selain daripada rombakan Kabinet tersebut, krisis politik tersebut mungkin menyebabkan Conte mengetuai sebuah kerajaan baharu.

Sebelum ini Renzi berulang kali membuat ancaman untuk menarik diri daripada perikatan campuran itu yang boleh menyebabkan kerajaan pimpinan Conte tumbang.

Penarikan daripada kerajaan campuran itu adalah berpunca daripada perbalahan antara Renzi dengan Conte berhubung cara kerajaan mengendalikan pandemik Covid-19 dan gaya kepimpinan Conte.

Perbalahan itu makin memuncak selepas Kabinet meluluskan rancangan untuk membelanjakan dana pemulihan Covid-19 yang berjumlah AS$264 bilion (RM1.06 trilion) bagi memulihkan ekonomi Itali.

Bagaimanapun, Renzi dilaporkan berkata, partinya tidak patut dipersalahkan kerana mewujudkan krisis tersebut kerana perbalahannya dengan Conte sudah berlaku selama beberapa bulan dan berhujah bahawa dua menterinya menunjukkan keberanian dengan meletakkan jawatan.

Renzi juga menuduh kerajaan menggunakan strategi yang lemah dalam membina semula ekonomi Itali.

Menurut akhbar The Guradian, Conte boleh menawarkan peletakan jawatannya kepada Presiden Itali yang mungkin memberinya mandat untuk membentuk satu perikatan baharu atau mendapatkan kemenangan dalam undi percaya terhadap kerajaannya di Parlimen.

Parti pimpinan bekas Perdana Menteri Itali, Metteo Renzi bertindak keluar daripada kerajaan campuran. Foto AFP
Parti pimpinan bekas Perdana Menteri Itali, Metteo Renzi bertindak keluar daripada kerajaan campuran. Foto AFP

Namun, masih tidak jelas bagaimana beliau akan memperoleh sokongan mencukupi setelah 18 senator daripada parti pimpinan Renzi itu tidak lagi menyokongnya.

Bagaimanapun, parti M5S dan parti Demokratik memberi petunjuk bahawa kedua-duanya mungkin cuba mendapatkan sokongan dari wakil-wakil rakyat pembangkang bagi mempertahankan kerajaan pimpinan Conte.

Conte yang tidak berpengalaman dalam dunia politik dipilih menjadi Perdana Menteri oleh Presiden Itali pada Jun 2018 selepas kompromi berjaya dicapai bagi mengetuai kerajaan perikatan tetapi beliau akhirnya membuktikan kemahirannya dalam berpolitik.

Beliau dilantik menjadi Perdana Menteri selepas pemimpin parti M5S, Luigo Di Maio dan pemimpin parti Lega, Matteo Salvini tidak dapat memutuskan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri selepas kedua-dua parti membentuk kerajaan campuran.

Justeru, mereka memilih Conte yang tidak menjadi anggota mana-mana parti itu menjadi Perdana Menteri.

Beliau turut berjaya mengekalkan jawatan Perdana Menteri selepas berlaku perpecahan dalam kerajaan campuran tersebut menyebabkan Conte mewujudkan kerajaan baharu dengan penglibatan parti M5S dan parti Demokratik pada tahun 2019.

Jalan terakhir bagi menyelesaikan krisis politik terbaharu itu adalah melalui pilihan raya jika kerajaan perpaduan baharu atau perikatan baharu gagal dibentuk oleh Conte.

Bagaimanapun, satu kajian pendapat Ipsos pada Rabu lalu menunjukkan 73 peratus responden menyatakan ia bukan masanya untuk krisis politik berlaku di negara berkenaan.

Krisis Covid-19 di negara itu pula masih belum reda kerana seramai 522 orang maut pada Khamis lalu menjadikan jumlah kematian keseluruhan hampir kepada 81,000 orang manakala pandemik tersebut menyebabkan Itali terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi. - Agensi