Tanggungjawab politik rentas parti

A
A
A

AKHIRNYA berlaku juga darurat. Di sebalik reaksi pelbagai masyarakat terhadap keputusan tersebut, ramai yang mungkin bersetuju bahawa darurat adalah langkah terbaik bagi mengawal dua permasalahan utama negara ketika ini.

Walaupun ia dilakukan bagi melandaikan keluk jangkitan pandemik Covid-19, dalam masa sama ia juga dilihat menghapuskan seketika ketidaktentuan politik yang semakin parah.

Tidak wajar mempersoalkan kewajaran darurat itu dilaksanakan. Secara umum dari sudut Perlembagaan, tafsiran darurat adalah sangat luas yang mencakupi apa-apa keadaan yang mendatangkan bahaya besar dan mengancam keselamatan, kesihatan, ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya.

Jika wujud keadaan tersebut, maka Yang di-Pertuan Agong selepas berpuas hati berkenaan dengan keadaaan itu boleh mengisytiharkan darurat sepertimana yang diperuntukkan dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Namun, ketika ini mungkin ahli politik yang paling ramai mempersoalkan keputusan melaksanakan darurat. Tapi kalau ditanya kepada penulis jawapan mudah kepada ahli politik ialah ‘padan muka’. Salah ahli politik sendiri yang akhirnya telah membawa kepada pelaksanaan darurat tersebut.

Bukankah Yang di-Pertuan Agong pernah menolak cadangan darurat Oktober tahun lalu dan bertitah supaya semua ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara?

Tidak perlulah ditanya mana-mana pemegang PhD atau pemarut kelapa bagi mengulas tentang darurat dan hubungannya dengan politik semasa, buang masa. Perbuatan ahli politik yang ego, tamak dan pentingkan diri sendiri itulah yang menyebabkan darurat berlaku.

Malah barangkali tidak salah juga kalau dikatakan mereka sebenarnya sudah ingkar kepada Titah Diraja sebelumnya. Kerana pengisytiharan darurat mungkin manifestasi kepada tindakan mereka yang bertentangan dengan titah Tuanku ketika menolak cadangan darurat sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Darurat atau tidak, permasalahan yang berlaku hari ini sudah melangkaui permasalahan politik atau kepartian. Penghakisan kepercayaan terhadap pempolitikan ahli politik dalam hal bernegara sudah mencapai tahap kritikal.

Akhirnya rakyat mejadi marah, kecewa dan sinikal terhadap orang politik. Sudahnya orang politik akan sentiasa dijauhi dan dihindari, kalaupun tidak dimusuhi.

Cuma kadangkala rakyat pun terlalu cepat berubah. Marahnya kepada orang politik bermusim. Kadangkala marah, kadangkala sayang bergantung kepada apa yang mereka dapat daripada orang politik itu.

Permasalahan hari ini tidak akan selesai dengan melakukan Pilihan Raya Umum (PRU) sekali pun kalau sentimen bermusim rakyat kepada orang politik dan kelakukan orang politik yang berterusan menolak integriti dan prinsip dalam berpolitik.

Buatlah PRU setiap bulan pun, tetapi kalau budaya menjadikan parti politik sebagai batu loncatan mengejar kepentingan peribadi apabila sanggup melompat parti, menggadai prinsip dan mengkhianati perjuangan terus menjadi amalan orang politik, maka berterusanlah masalah ini untuk terus membelenggu.

Siapapun yag menjadi kerajaan kalau acuan dan budaya pemikiran rakyat dan orang politik berterusan sebegini, maka jangan haraplah kepada apa-apa perubahan.

Ketika ini, semua pihak terutamanya ahli politik dan parti politik perlu insaf dan berlaku jujur kepada semua pihak. Di sebalik anutan ideologi dan agenda perjuangan masing-masing, tiada apa yang benar-benar mutlak melainkan kepentingan berpolitik dilakukan dalam kerangka bernegara.

Kebertanggungjawaban melalui sistem politik sedia ada perlu segera merentas parti. Sebagai ahli politik, tanggungjawab kamu adalah kepada rakyat dan pengundi, bukannya parti.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)