X

Kindly register in order to view this article
!

Rayuan tarik balik darurat sukar diterima

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pengisytiharan darurat di negara ini adalah mengikut Perlembagaan, kata Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood.

Menurutnya, mengikut ketetapan Perkara 150 (1), Seri Paduka Baginda boleh membuat pengisytiharan darurat selepas berpuas hati keadaan yang memerlukan darurat diisytiharkan wujud atau akan wujud.

“Tuanku mendapat maklumat daripada kerajaan semasa dan bersetuju dengan cadangan untuk isytihar darurat. Oleh itu, seruan dan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik atau menamatkan darurat tentu sukar untuk diterima.

“Selagi keadaan Covid-19 belum reda, tidak mungkin darurat akan ditamatkan dalam masa terdekat. Lagipun amat jelas bahawa satu Jawatankuasa Khas Bebas untuk menasihatkan Tuanku sama ada darurat akan ditamatkan bakal ditubuhkan.

“Jadi, saya rasa tiada sesiapa pun dapat mengubah keadaan sekarang atas dasar keputusan adalah di tangan Seri Paduka Baginda,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, darurat Perlembagaan memberi kuasa eksekutif dan legislatif kepada Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan semasa.

“Dalam membuat ordinan darurat, Tuanku pada amnya mendengar nasihat Perdana Menteri dan Kabinet. Namun kuasa Seri Paduka Baginda juga harus dibaca dengan Ordinan Darurat 2021 yang diluluskan hari ini. Misalnya, Seri Paduka Baginda ada kuasa untuk membuat peraturan-peraturan yang perlu ketika darurat,” katanya.

Mengulas tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar surat kepada semua ahli Parlimen bagi merayu Yang di-Pertuan Agong membatalkan darurat, Nik Ahmad Kamal berkata, langkah Ahli Parlimen Port Dickson itu adalah sebahagian daripada proses demokrasi.

“Kita lihat dan tunggu sama ada akan termasyhur satu petisyen daripada Ahli Dewan Rakyat memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan darurat. Sama ada permintaan Datuk Seri (Anwar) akan disahut ramai Ahli Dewan Rakyat adalah amat subjektif.

“Malah, kalau pun ada petisyen tersebut dihantar kepada Seri Paduka Baginda nanti, kita tunggu. Yang jelas, selagi apa juga tindakan beliau (Anwar) atau orang lain yang tidak bertentangan dengan undang-undang sedia ada, maka ia tidak menjadi satu kesalahan.

“Undang-undang biasa yang wujud akan sentiasa terpakai ketika darurat sekarang selagi tiada Ordinan Darurat yang mengatasinya.

“Walaupun kita dalam suasana darurat, amalan demokrasi dan kebebasan bersuara masih ada. Ini bertentangan dengan sesetengah pendapat bahawa demokrasi terkubur apabila darurat diisytiharkan,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, Anwar perlu menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas sekiranya berhasrat membatalkan pengisytiharan darurat.

“Cara paling mudah dengan menganggotai jawatankuasa itu yang ditubuhkan oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Ordinan Darurat. Di situ beliau boleh berhujah dan memberikan pandangan dan saranan kepada ahli jawatankuasa yang terdiri daripada wakil-wakil bebas sama ada mereka yang mewakili pihak berkuasa kesihatan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atau pihak penguatkuasaan bahawa keadaan negara kita sudah selamat untuk ditamatkan darurat dan perlu kembali kepada situasi biasa.

“Sebagaimana yang dapat difahami daripada kenyataan oleh Istana Negara bahawa Yang Dipertuan Agong boleh mempertimbangkan penamatan pengisytiharan darurat ini lebih awal melalui syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas Bebas berkenaan.

“Hal ini juga disebut dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berkenaan dengan peranan Jawatankuasa Khas Bebas untuk memberikan syor kepada Tuanku. Oleh yang demkian, langkah terbaik dengan menggunakan ruang yang disediakan untuk menyalurkan pandangan dan juga suara,” katanya.

Tegas beliau, dalam keadaan kes Covid-19 semakin meningkat, semua pihak sama ada kerajaan dan pembangkang sewajarnya bersatu hati menangani wabak berkenaan.

“Mereka juga sepatutnya beri tumpuan dalam membantu rakyat yang mengalami kesempitan hidup dan memulihkan ekonomi negara.

“Apabila semuanya selesai, saya percaya semua pihak bersedia untuk menamatkan darurat dan selepas itu, kita boleh melaksanakan Pilihan Raya Umum (PRU) bagi menyerahkan mandat kepada rakyat untuk menentukan siapa yang layak mentadbir negara,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!