X

Kindly register in order to view this article
!

Dulu penagih, kini penceramah bebas

Raja Mohd Zulkifli sering dijemput untuk terlibat dalam ceramah berkaitan masalah sosial.
A
A

BUKAN mudah untuk membuang stigma negatif masyarakat terhadap individu yang pernah terjebak dalam dunia gelap penagihan dadah.

Rasa diri seperti tidak berguna akibat dicemuh adakalanya membuatkan bekas penagih kembali ke lorong belakang atas alasan mereka sudah tidak ada tempat dalam kalangan masyarakat.

Namun bagi sesetengah bekas penagih yang cekal, itu bukan penghalang untuk mereka membina hidup baharu bersama keluarga tercinta.

Siapa sangka, seorang bekas penagih dadah membuktikan dia mampu kembali ke pangkal jalan hasil sokongan serta kepercayaan keluarga dan masyarakat yang membantunya untuk berubah.

Raja Mohd Zulkifli (dua dari kanan) bangkit selepas mendapat sokongan rakan dan keluarga.
Raja Mohd Zulkifli (dua dari kanan) bangkit selepas mendapat sokongan rakan dan keluarga.

Penceramah bebas, Raja Mohd Zulkifli Raja Said berkata, beliau kini giat melaksanakan pelbagai program motivasi berkaitan 'team building' dan pengurusan acara sejak tahun 2008.

"Saya juga terlibat dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam membantu pelaksanaan program rawatan dan pencegahan," katanya dalam temu bual khas bersama Sinar Harian baru-baru ini.

Raja Mohd Zulkifli turut mengimbau kembali detik beliau terjebak dengan dadah sejak berusia 20 tahun akibat pengaruh rakan.

Turut terlibat dalam aktiviti 'team building'.
Turut terlibat dalam aktiviti 'team building'.

"Pada ketika itu, hidup keluarga saya susah. Saya terpaksa menjadi tokan mengedar dadah secara kecil-kecilan, dalam masa sama menjadi penagih," katanya.

Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, hasil penjualan dadah boleh mencecah sehingga RM3,000 sehari.

"Saya memilih untuk menjadi tokan kerana itu sumber yang paling cepat untuk saya mendapatkan duit dan tidak dipandang hina kerana kemiskinan.

"Selain menjadi tokan dadah, saya turut terlibat dengan kegiatan kongsi gelap," katanya.

Raja Mohd Zulkifli berkata, beliau cuba berhenti seketika daripada menjalankan aktiviti pengedaran dadah selepas mendirikan rumah tangga.

"Bagaimanapun, sukar untuk saya 'survive' kerana komitmen yang banyak, akhirnya saya kembali semula menjadi tokan," katanya.

Menurutnya, pelbagai masalah dan kesan sampingan boleh terjadi akibat penyalahgunaan dadah.

"Saya mudah sakit dan tidak boleh berada dalam keadaan tertekan kerana ia boleh memberi kesan kepada diri saya," katanya.

Beliau berkata, keluarganya mengetahui penglibatannya dalam aktiviti dadah selepas ditangkap pada tahun 2001.

"Saya dikenakan tindakan penjara berkaitan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas)," katanya.

Raja Mohd Zulkifli berkata, beliau dipenjarakan selama 18 bulan di Simpang Renggam, Johor.

"Syukur, keluarga masih memberi sokongan moral dengan melawat saya di penjara setiap bulan.

"Anak perempuan sulung saya juga pernah berpesan jangan pergi ke tempat (penjara) itu lagi," katanya.

Sokongan keluarga

Raja Mohd Zulkifli berkata, keluarganya pernah memaklumkan mereka terpaksa berhadapan dengan tohmahan masyarakat sepanjang tempoh dia berada di dalam penjara.

"Namun, saya mendapat sedikit kekuatan untuk kembali ke pangkal jalan setelah mendapat sokongan daripada adik-beradik, isteri dan dua anak saya," katanya.

Raja Mohd Zulkifli bergiat aktif dalam aktiviti NGO dalam usaha pencegahan masalah sosial dan dadah.
Raja Mohd Zulkifli bergiat aktif dalam aktiviti NGO dalam usaha pencegahan masalah sosial dan dadah.

Menurutnya, masyarakat turut memandang sinis terhadap dirinya selepas keluar dari penjara.

"Sepasukan polis pernah menunggu memantau saya selama seminggu disebabkan aduan orang kampung yang mendakwa 'kepala gengster' sudah balik.

"Namun anggota polis itu memberi nasihat iaitu jika saya hendak berubah, walau apa pun yang berlaku saya perlu berpegang terhadap keputusan untuk berubah," katanya.

Raja Mohd Zulkifli berkata, peranan keluarga amat penting kerana penagih memerlukan sokongan mereka untuk berhenti menagih.

"Rawatan jangka panjang seiring dengan sesi kaunseling dan sokongan keluarga amat penting bagi membantu golongan penagih ini," katanya.

Beliau berkata, AADK banyak memberi pendedahan dalam kursus dan program kepada dirinya pada tahun 2004.

"Mereka banyak membantu saya sehingga saya menjadi penceramah bebas dan pakar motivasi," katanya.

Beliau berkata, AADK juga memberi peluang pekerjaan secara kontrak kepada dirinya.

Raja Mohd Zulkifli sudi berkongsi pengalaman agar kisahnya menjadi tauladan kepada golongan muda.
Raja Mohd Zulkifli sudi berkongsi pengalaman agar kisahnya menjadi tauladan kepada golongan muda.

"Sebelum ini, saya tidak tahu fungsi AADK, malah pendedahan mengenai bantuan agensi itu juga agak terhad.

"Setelah saya berkhidmat dengan AADK, baru saya faham fungsi dan sokongan yang diberikan oleh agensi tersebut," katanya.

Menurutnya, beliau kini giat melaksanakan program pencegahan berkaitan masalah sosial dan dadah.

"Saya juga membantu memberi kesedaran terhadap golongan remaja yang terlibat dengan masalah sosial dan dadah," katanya.

Beliau turut terlibat dengan Projek Rintis Menangani Masalah Dadah Substan dan Pelencongan Sosial dilaksanakan AADK di Pahang.

"Projek ini berjaya mengurangkan kes jenayah dan meningkatkan kesedaran kepada penagih untuk menjalani rawatan," katanya.

Menurutnya, AADK menyasarkan 30 kawasan baharu untuk perlaksanaan program Projek Rintis pada tahun ini.

"Pemilihan ini adalah untuk mencari model yang bersesuaian untuk pelaksanaan program di kawasan Projek Perumahan Rakyat, Felda dan perkampungan nelayan," katanya.

Raja Mohd Zulkifli (dua dari kiri) ketika memberi ceramah berkaitan dadah.
Raja Mohd Zulkifli (dua dari kiri) ketika memberi ceramah berkaitan dadah.

Katanya, pada tahun lalu, terdapat 12 buah kawasan pada asalnya berada di dalam kawasan merah.

"Kini beberapa kawasan yang telah dikategorikan sebagai hijau antaranya adalah Felda Keratong di Pahang, Felda Lubuk Merbau di Kedah, Sungai Besar di Sabak Bernam dan Gugusan Felda Hulu Selangor di Selangor.

"Hanya tiga kawasan dikategorikan sebagai kawasan kuning iaitu Langkawi di Kedah Petaling Jaya Selatan di Petaling Jaya dan Pengkalan Chepa di Kelantan," katanya.

Menurutnya, adalah kurang realistik untuk mencapai sifar dadah tetapi AADK mampu untuk mengawalnya sebagaimana matlamat kerajaan untuk mencapai sasaran dadah terkawal menjelang tahun 2025.

"Buat masa ini, kawasan hijau ini masih berjaya mengekalkan status sebagai kategori hijau di mana jumlah penagih baharu dan berulang telah berjaya diturunkan," katanya.

Raja Mohd Zulkifli berkata, adalah kurang realistik untuk mencapai sifar dadah tetapi AADK mampu untuk mengawalnya sebagaimana matlamat kerajaan untuk mencapai sasaran dadah terkawal menjelang tahun 2025.

"Buat masa ini kawasan hijau ini masih berjaya mengekalkan status sebagai kategori hijau di mana jumlah penagih baharu dan berulang telah berjaya diturunkan," katanya.

Tekad bantu bekas penagih

Pengasas sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Pertubuhan Tindakan Sosial Malaysia itu berkata, keinginan untuk berubah dan kembali ke pangkal jalan adalah bergantung kepada niat individu itu sendiri.

"Dalam masa sama, kita perlu mendapat sokongan daripada pelbagai pihak agar kita tidak kembali semula menjadi penagih," katanya.

Raja Mohd Zulkifli berkata, beliau berharap lebih ramai bekas penagih yang berjaya tampil memberi dorongan dan semangat kepada bekas-bekas penagih lain.

"Ramai lagi bekas-bekas penagih yang berjaya kini menjadi usahawan, kontraktor dan imam, namun mereka tidak berani tampil kerana persepsi masyarakat terhadap kisah silam mereka," katanya.

Menurutnya, bukan mudah untuk memulihkan gejala penagihan dadah.

Raja Mohd Zulkifli (tengah) turut membantu AADK dalam perlaksanaan pelbagai program.
Raja Mohd Zulkifli (tengah) turut membantu AADK dalam perlaksanaan pelbagai program.

"Proses pemulihan ini ambil masa dan tuntut kesabaran serta kesungguhan yang tinggi. Sebab itu lebih baik elakkanlah diri daripada terjebak.

“Bila sudah terkena, ia akan memberi keburukan kepada diri sendiri. Lebih sedih, bila kita teringat wajah keluarga yang terluka dengan perbuatan kita," katanya.

Raja Mohd Zulkifli berkata, pengisian ilmu agama banyak membantu untuk menjadikan dirinya lebih tenang dan bersemangat untuk pulih.

"Saya kini rasa lebih dekat dengan ALLAH SWT, serta bersemangat untuk membantu penagih lain kembali ke pangkal jalan," katanya.

****

BIODATA

Nama: Raja Mohd Zulkifli Raja Said

Umur: 48 tahun

Tarikh lahir: 31 Ogos 1974

Status: Berkahwin

Anak: Dua orang berusia 24 dan 25 tahun

Kerjaya: Mengendalikan program kursus, motivasi dan latihan


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!