Covid-19: Penularan kes tempatan meningkat di Terengganu

Terengganu mula menunjukkan penularan kes tempatan Covid-19 dengan catatan kes harian baharu tertinggi sejak Januari iaitu sebanyak 92 kes pada Jumaat. Gambar hiasan
Terengganu mula menunjukkan penularan kes tempatan Covid-19 dengan catatan kes harian baharu tertinggi sejak Januari iaitu sebanyak 92 kes pada Jumaat. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Terengganu mula menunjukkan peningkatan penularan kes tempatan Covid-19 dengan catatan kes harian baharu tertinggi sejak Januari iaitu sebanyak 92 kes pada Jumaat.

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dalam kenyataan berkata, pertambahan itu menjadikan terdapat 330 kes Covid-19 aktif di Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 753 kes dan 28 kes sembuh direkodkan.

"Terengganu mula merekodkan penularan kes tempatan yang tinggi sejak beberapa hari lalu.

"Walaupun 66 daripada 87 kes penularan tempatan pada hari ini (Jumaat) melibatkan sebuah institusi, orang ramai diminta untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga," kata kenyataan tersebut pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 328 kes aktif kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di wad biasa yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19 di Hospital Hulu Terengganu, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Hospital Setiu, PKRC Marang dan PKRC ILKKM Kuala Terengganu, manakala dua kes lagi sedang menerima rawatan di ICU HSNZ dan diberikan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus menerusi kenyataan di Facebook beliau berkata, daerah Kuala Terengganu dan Dungun kini berada di zon merah, manakala Besut dan mukim Rasau masing-masing di zon jingga.

"Peningkatan kes hari ini disumbangkan oleh dua kluster besar iaitu Kluster Madrasah Kubang Bujuk dan Kluster Kejaya," katanya.

Beliau berkata, Kluster Kejaya dikesan di Dungun bermula dengan kes indeks wanita berumur 61 tahun yang mengalami demam serta simptom Ageusia iaitu tiada deria rasa.

Artikel Berkaitan:

"Kes mempunyai sejarah menghadiri tiga kenduri di mana salah sebuah kenduri juga dihadiri keluarga dari Pulau Pinang.

"Beliau dikesan positif pada 5 Januari lalu selepas mendapat pemeriksaan di Klinik Kesihatan di Dungun. Kes ini telah menjangkiti seramai 25 ahli keluarga termasuk jiran," katanya.