Gesaan Anwar batal darurat tindakan terdesak

Datuk Razali Idris
Datuk Razali Idris
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon supaya pengisytiharan darurat dibatalkan dan Parlimen boleh segera bersidang adalah satu tindakan politik terdesak atau 'desperado'.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Senator Datuk Razali Idris berkata, Ahli Parlimen Port Dickson itu juga sangat terdesak apabila menggesa semua ahli Parlimen turut menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, politik 'desperado' Ketua Pembangkang tidak boleh lagi digunapakai kerana rakyat mengetahui helah politik sedemikian, malah umum mengetahui tujuan proklamasi darurat adalah demi kesejahteraan rakyat dan negara secara menyeluruh.

"Bentuk hasutan yang digerakkan sebegini akan merosakkan minda rakyat terutama generasi muda dan rakyat tidak mudah termakan akan dakyah politik 'desperado' Ketua Pembangkang.

"Anwar sebelum ini juga sudah acap kali mengutarakan mempunyai bilangan ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan, tetapi yang berlaku sebaliknya. Janganlah jadi penghasut bersiri.

"Kenapa ketika Ketua Pembangkang itu berada dalam kerajaan memerintah beliau tidak betul-betul membantu rakyat dan sekarang konon sibuk berjuang demi rakyat dan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Anwar menghantar surat kepada semua ahli Parlimen mengajak mereka mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong dalam usaha merayu membatalkan pelaksanaan darurat di negara ini.

Anwar bagaimanapun berkata, surat berkenaan perlu disesuaikan berdasarkan pertimbangan semua ahli Parlimen dan parti masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Razali berkata, dalam keadaan yang tidak menentu sekarang adalah lebih baik semua ahli Parlimen meneruskan tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang prihatin kepada rakyat di kawasan mereka.

"Wakil rakyat sewajarnya turun padang untuk bersama-sama membantu, merasai keluh kesah dan nadi denyut rakyat yang sangat memerlukan sokongan moral, motivasi dan segala bantuan yang dipohon," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Anwar hantar surat kepada semua MP rayu Agong batal darurat