Pemimpin UMNO ada kes mahkamah perlu contohi Anwar

Anwar - Foto fail AFP
Anwar - Foto fail AFP
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meminta pemimpin UMNO yang berhadapan dengan kes mahkamah supaya mencontohi sikap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah berhadapan dengan situasi tersebut.

Ketua Bersatu Kepong, Datuk Norizan Ali berkata, ketabahan yang ditunjukkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu seharusnya dijadikan iktibar kerana beliau bukan sahaja sanggup melalui proses perbicaraan, malah turut bersedia untuk dipenjarakan.

“Pemimpin UMNO seharusnya belajar dan mengambil iktibar daripada ketabahan Anwar yang bukan saja sanggup melalui proses perbicaraan dengan tabah, malah sedia dipenjarakan. Disebabkan ketabahan dan keyakinan yang ditunjukkan oleh Anwar itu, parti dan dirinya tetap diterima rakyat dalam pilihan raya.

"Seharusnya pemimpin UMNO yang sedang berdepan kes mahkamah juga mengambil pendekatan yang sama seperti ditunjukkan Anwar,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pemimpin UMNO juga diingatkan supaya tidak melakukan ugutan politik disebabkan tidak mampu membersihkan nama melalui proses perbicaraan di mahkamah.

Katanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berulang kali mengingatkan bahawa beliau tidak akan campur tangan dalam sebarang urusan mahkamah dan meminta mereka yang terlibat supaya membersihkan nama menggunakan proses perundangan.

“Dalam hal ini, UMNO seharusnya berjiwa besar serta berlapang dada menerima keadaan yang berbeza berbanding sewaktu Barisan Nasional (BN) berkuasa dahulu dengan tidak terus mengamalkan budaya politik ugut dan seumpamanya.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini yang ditunjangi Bersatu pimpinan Muhyiddin dibentuk semata-mata untuk kepentingan Melayu dan Islam serta bagi menyelamatkan negara.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan ini tidak dibentuk untuk menyucikan dosa-dosa pemimpin UMNO yang masih ada kes mahkamah atas pelbagai kesalahan yang telah mereka lakukan sebelum ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pimpinan UMNO supaya menyambut baik seruan Perdana Menteri untuk sama-sama membina dan memulihkan negara tanpa ada sebarang niat atau kepentingan lain yang bersifat kepentingan peribadi di sebaliknya.

Norizan berkata, permainan politik yang ditunjukkan UMNO termasuk ugutan mahu keluar daripada kerajaan PN hanya akan memalukan parti itu di mata rakyat.

“Seperti mereka selalu menyebut berjuang untuk agama, bangsa dan negara, inilah masanya untuk pemimpin UMNO termasuk yang ada kes mahkamah untuk membuktikan kata-kata tersebut dan bukannya berjuang untuk membebaskan diri daripada masuk penjara,” katanya.