Peniaga pasar malam mengeluh dakwa PBT tak adil laksana SOP

KAMARUL NIZAM
KAMARUL NIZAM
A
A
A

SHAH ALAM - Peniaga pasar malam di sekitar Klang dan Shah Alam meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pihak berkuasa yang seolah-olah bersikap berat sebelah berkenaan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) perniagaan pasar malam.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Bumiputera Shah Alam dan Klang (Pasarmalam SAK), Kamarul Nizam Razak berkata, beliau mengambil maklum pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan larangan operasi pasar malam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, katanya, pihaknya menerima banyak aduan daripada peniaga berkenaan ketidakadilan dalam kalangan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melaksanakan SOP yang telah ditetapkan kerajaan.

Menurut beliau yang berniaga di Berjaya Park di sini, majoriti peniaga pasar malam masih cuba bangkit daripada kerugian yang mereka tanggung sepanjang PKP tahun lalu dengan berniaga sebagai penjaja di tepi jalan, namun usaha mereka dihalang oleh sesetengah PBT.

“Kami baru sahaja bayar lesen perniagaan kepada majlis perbandaran masing-masing hujung tahun lalu. Jadi bila kami dimaklumkan bahawa kami tidak dibenarkan berniaga, ia tidak adil untuk kami.

“Sudahlah pasar malam tidak boleh dibuka, nak berniaga tepi jalan pun kerajaan negeri seolah-olah seperti main tarik tali.

“Walaupun sesetengah PBT masih bertolak ansur dengan kami, saya mendakwa wujud ketidakadilan dalam pelaksanaan SOP untuk peniaga kecil seperti kami,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Bagi membantu golongan peniaga pasar malam yang terjejas, Kamarul yang juga dikenali sebagai Ahpong mengusulkan kepada kerajaan negeri supaya mengadakan pasar petang untuk menggantikan pasar malam sepanjang tempoh PKP.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pasar tersebut boleh mula beroperasi pada jam 3 petang hingga 7 malam mengikut SOP yang ditetapkan.

Selain itu, Kamarul turut menyuarakan kebimbangan peniaga lain apabila Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa PKP mungkin akan dilanjutkan untuk beberapa minggu lagi.

Kata beliau, majoriti peniaga pasar malam bergantung kepada hasil jualan mereka sepenuhnya.

“Jika kami tidak dibenarkan berniaga, kami minta kerajaan berikan Geran Khas Prihatin (GKP) untuk bantu kami menempuh hari-hari mendatang kerana kami tidak tahu berapa lama PKP akan dilaksanakan,” katanya.