Ejen edar ketum diberkas

Azhari menunjukkan daun ketum bernilai yang dibawa dari Kedah untuk pasaran Kelantan dan Terengganu.
Azhari menunjukkan daun ketum bernilai yang dibawa dari Kedah untuk pasaran Kelantan dan Terengganu.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Sembilan lelaki yang dipercayai ejen pengedaran ketum dicekup anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Batu 9, Batang Merbau, Tanah Merah pagi Jumaat.

Suspek berusia 28 hingga 41 tahun itu dicekup ketika sedang memunggah bahan terlarang tersebut pada jam 9.30 pagi.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut berjaya merampas 1.46 tan daun ketum, 7.5 liter air ketum dan 10 liter ubat batuk.

"Kita turut merampas wang tunai berjumlah RM4,498 dipercayai hasil penjualan bahan terlarang itu," katanya kepada pemberita di Markas Taktikal PGA di Lubok Stol pada Jumaat.

Menurutnya, semasa serbuan dilakukan kesemua suspek berada di dalam rumah berkenaan.

Bagaimanapun katanya, dua daripada sembilan suspek itu cuba meloloskan diri namun berjaya diberkas oleh anggota PGA yang bertindak pantas menghalang tindakan licik mereka itu.

"Hasil soal siasat ke atas kesemua suspek, mereka telah menunjukkan bungkusan daun ketum yang disembunyikan di kawasan semak berhampiran rumah berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut di kawasan semak berhampiran rumah milik kepada salah seorang suspek telah menjumpai bahan terlarang itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Azhari berkata, siasatan awal mendapati kesemua bekalan daun ketum itu diperoleh dari Kedah yang dibawa oleh seorang lelaki dan kemudian dihantar ke rumah milik salah seorang suspek.

Katanya, bahan terlarang itu dipercayai untuk pasaran sekitar Kelantan dan Besut di Terengganu.

"Ini merupakan rampasan ketum terbesar dilakukan oleh PGA bagi tahun ini.

"Nilai keseluruhan rampasan itu termasuk ketum, air ketum dan ubat batuk dianggarkan berjumlah RM49,993," katanya.