Bukan masa sesuai cipta gelora dalam UMNO

MUSTAFA SHAH
MUSTAFA SHAH
A
A
A

SHAH ALAM - Ketika ini bukan masa sesuai untuk mencipta gelora di dalam UMNO ketika parti itu sedang membina kekuatan mengembalikan sokongan rakyat.

Exco Pemuda UMNO, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata, ahli UMNO sepatutnya bersatu padu berdiri teguh di belakang Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk berdepan situasi sukar selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Ketika parti mengalami kejatuhan, dalam keadaan yang serba kekurangan, Datuk Seri Ahmad Zahid masih mencurahkan bakti dan sanggup menjadi Presiden dalam keadaan UMNO sebagai pembangkang.

"Oleh itu, kita semua perlu bersatu hati, bersatu padu mempertahankan rumah UMNO kita. Elakkan daripada pertelingkahan yang boleh meruntuhkan UMNO dari dalam," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian susulan wujud gesaan dalam kalangan ahli UMNO yang meminta supaya Ahmad Zahid berehat daripada menjalankan tugas daripada terus memimpin parti itu.

Sementara itu, Mustafa Shah yang juga Ketua Pemuda UMNO Kuala Kangsar berkata, ahli-ahli UMNO perlu mencontohi parti lain.

Menurutnya, baik parti lawan mahupun kawan tidak pernah mendesak agar Presiden mereka meletak jawatan dalam apa juga situasi, bahkan mereka mempertahankan ketua mereka.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar ahli UMNO tidak menjadi seperti 'tikus membaiki labu'.

Artikel Berkaitan: